KUALA LUMPUR, 13 November:

‘Aliran debris’ adalah punca utama insiden tanah runtuh dan banjir lumpur di Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur sehingga mengakibatkan laluan itu terpaksa ditutup untuk kerja-kerja pembersihan dilakukan.

Walaupun kejadian itu tidak meragut nyawa, namun kerugian tetap dialami oleh pemilik empat kenderaan termasuk satu lori angkut yang terkandas dalam kejadian di Kilometer 52.4 Lentang-Bukit Tinggi, menghala barat, petang Rabu lalu.

Pakar Geologi UKM, Dr Tajul Anuar Jamaluddin berkata kejadian ini tidak akan berlaku sekiranya persiapan proaktif diambil oleh syarikat konsesi lebuhraya dalam menghadapi bencana seperti ini dan memastikan keselamatan pengguna dititik beratkan.

“Kejadian yang berlaku di Lebuhraya Karak semalam lebih tepat dipanggil aliran debris (debris flow) yang berpunca daripada sebatang sungai berhampiran, hujan lebat menyebabkan alur anak sungai tersekat dan membentuk empangan sementara yang saya lihat mungkin disebabkan aktiviti fizikal di hutan berhampiran seperti pembalakan haram,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Memetik laporan Utusan Online pada Khamis, Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang Datuk Mohd. Faiz Kamaruzaman berkata, tiada kegiatan pembalakan di kawasan Hutan Simpan Kekal Lentang.

Tambahnya, kegiatan pembalakan untuk membina laluan projek menara talian elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di hutan simpan itu telah dihentikan kira-kira lima bulan lalu untuk kajian dilakukan.

Menurut Dr Tajul, sebab lain berlakunya aliran debris adalah secara semula jadi.

“Ketika hujan lebat tebing sungai tidak dapat menampung paras air dan membentuk empangan sementara di anak sungai, kerana tidak dapat menampung kapasiti air yang bertakung menyebabkan empangan sementara itu pecah dan mengalirkan air ke laluan lereng bukit dan melimpah.

“Aliran debris menyapu semua objek yang berada di laluannya termasuk batang pokok, batu dan tanah sehingga menghasilkan banjir lumpur dengan aliran deras mampu menghanyutkan apa sahaja yang menghalang termasuk rumah kediaman dan kenderaan,” katanya.

Kejadian aliran debris pernah berlaku dalam insiden di perkampungan orang asli Pos Dipang pada 29 Ogos 1996 yag telah meragut 44 nyawa.

Di sebalik kejadian luar jangka itu, hakikatnya, ia telah membuka mata banyak pihak akibat kerakusan manusia terhadap khazanah alam yang membawa padah kepada sesiapa sahaja.

“Kejadian semalam boleh dielakkan sekiranya konsesi lebuhraya menitikberatkan keselamatan pengguna dengan membuat kajian pemetaan lokasi berisiko aliran debris terutamanya yang berada dekat dengan aliran air seperti sungai dan air bawah tanah.

“Setelah kajian dibuat, lokasi berisiko perlulah dipasang dengan perangkap ‘debris flow’ atau membina ‘Sabo Dam’ seperti yang dibuat di Jepun dan Indonesia,” katanya.

Jelas Dr Tajul, dua kaedah ini telah lama diperkenalkan di Malaysia sebagai contoh di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di kawasan Jelapang-Changkat dan Muar.

Tambahnya, perubahan iklim yang tidak menentu dan hujan lebat yang bermusim pada ketika ini memerlukan persediaan secara proaktif untuk menghadapi bencana alam seperti banjir lumpur, tanah runtuh, tanah mendap sehingga kepada gempa bumi.