KUALA LUMPUR, 12 November:

Usahawati Datuk Maziah Musa, ibu kepada pelakon Ummi Nazeera dilepas tanpa dibebaskan atas pertuduhan memberi keterangan palsu di Mahkamah Sesyen dua tahun lalu.

Ini berikutan timbalan pendakwaraya Muhammad Farith Muhd Faizal memaklumkan kepada mahkamah bahawa surat representasi daripada pihak pembelaan diterima oleh Jabatan Peguam Negara.

Peguam Hanif Abdul Rahman berkata surat representasi tersebut meminta pihak pendakwaan untuk melepas serta membebaskan anak guamnya selain dari menarik balik pertuduhan tersebut.

Majistret Saifulakmal Said kemudiannya membuat keputusan untuk melepas tanpa membebaskan tertuduh.

Wang jaminan sebanyak RM2,500 juga dikembalikan kepada tertuduh.

Maziah yang hadir bersama anaknya, Ummi kelihatan tenang semasa majistret membuat keputusan tersebut.

Dia dituduh di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan atas kesalahan memberi keterangan palsu semasa pemeriksaan balas di hadapan hakim Norsharidah Awang dengan menyatakan bahawa dia tidak pernah berkahwin semula dengan bekas suaminya, Datuk Zainulabadin Mat Akhir, 64, atau berkahwin lain dengan individu lain pada Sept 25, 2013 pada jam 11.43 pagi.