KUALA LUMPUR, 12 November:

Punca sebenar kejadian banjir lumpur di Lebuhraya KL-Karak semalam hingga menyebabkan ribuan pengguna laluan itu terkandas, bakal disiasat pihak berkuasa namun, beberapa pihak tidak menolak kemungkinan bencana itu berlaku kerana aktiviti pembalakan dan pembangunan yang tidak terkawal.

Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) antara yang percaya kejadian tanah runtuh di KM52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran kawasan Lentang-Bukit Tinggi berpunca daripada kegiatan pembalakan tidak terkawal di kawasan Hutan Lipur Lentang.

Syarikat konsesi lebuh raya itu, Anih Berhad juga menyatakan sampah sarap, kayu balak dan batu-batuan yang dihanyutkan dalam kejadian itu berhampiran Hutan Lipur Lentang menunjukkan adanya ‘aktiviti’ tertentu di luar kawasan penyelenggaraannya menyebabkan berlakunya limpahan air.

Bagaimanapun, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob menyifatkan banjir lumpur itu berpunca daripada faktor semulajadi, tetapi tidak menafikan adanya aktiviti pembalakan berhampiran kawasan kejadian.

Kenyataan serupa diakui Jabatan Perhutanan Pahang yang menafikan kegiatan pembalakan di pinggir hutan simpan Lentang sebagai punca insiden itu, sebaliknya berpendapat kejadian itu mungkin disebabkan hujan lebat dan faktor kegagalan cerun di situ.

Apapun, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini menegaskan bahawa punca kejadian akan disiasat dan keputusannya dijangka diketahui selewat-lewatnya dalam tempoh dua minggu lagi.

Ia akan dimaklumkan selepas pakar-pakar yang berkaitan selesai membuat kajian terperinci berhubung insiden itu, katanya.

Bagaimanapun, katanya masih terlalu awal untuk mengaitkan kejadian itu dengan aktiviti pembalakan selagi siasatan belum selesai.

Kejadian banjir lumpur berhampiran Lentang-Bukit Tinggi pada 6.30 petang semalam menyebabkan sebahagian lebuh raya dari kedua-dua arah tidak boleh dilalui dengan tiga kenderaan persendirian dan sebuah lori angkut terkandas di kawasan itu.

Kesemua pemandu kenderaan itu dapat diselamatkan.

Kejadian itu juga menyebabkan ribuan pengguna lebuh raya itu terkandas selepas aliran trafik dari kedua-dua hala sesak teruk selama beberapa jam.

Ia juga menyebabkan 25 penghuni kuarters Jabatan Perhutanan Negeri Pahang terpaksa dipindahkan ke Masjid Lentang dan diberi bantuan sewajarnya bagi memastikan keselesaan mereka.

Bagaimanapun, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tidak menolak kemungkinan berlakunya banjir lumpur kali kedua di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak sekiranya hujan lebat petang ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Soiman Jahid berkata kemungkinan itu berdasarkan tinjauan udara jabatan itu yang mendapati masih ada takungan air di puncak bukit berhampiran lebuh raya berkenaan.