KUALA LUMPUR, 11 November:

Dua beradik yang ditahan selepas ditemui bersama ibu mereka yang maut di pangsapuri Bandar Permaisuri, Cheras di reman hingga Selasa depan.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Chong Kok Sin berkata, kedua-dua suspek berusia 22 dan 25 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Kedua-dua suspek dipercayai mengalami penyakit mental yang tidak stabil.

“Mereka akan menjalani pemeriksaan psikatrik untuk rawatan  susulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kedua-dua suspek yang masih menuntut di pusat pengajian awam ditemui disamping mayat ibu mereka, Wan Yah Wan Mat, 63.

Dalam kejadian 3 petang semalam, ibu mereka cuba meleraikan pergaduhan antara dua beradik itu sebelum ditemui maut.

Mangsa yang berasal dari Tumpat, Kelantan itu mengalami bengkak di belakang kepala, kedua-dua mata dan tepi mulut lebam, mulut serta hidung berdarah.

Mayat mangsa berada di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.