KUALA LUMPUR, 11 November:

Bukit Aman mendedahkan terdapat penyebaran dakyah Kristian yang menyamar untuk mempengaruhi umat Islam di negara ini mengikut agama itu.

Menurut laporan Ismaweb.net, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial, Cawangan Khas Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Awaluddin Jadid membuat pendedahan tersebut semalam pada Seminar Pendedahan Ancaman Rencana Kristianisasi (SPARK) di Gombak, Selangor.

Antara yang didedahkannya, sekarang ini banyak tadika yang namanya kelihatan seperti Islam, tetapi secara realitinya bertujuan menyebarkan dakyah Kristian.

Awaluddin berkata, tindakan menyembunyikan identiti mereka yang sebenar oleh penyebar dakyah Kristian menjadi satu ancaman utama kepada umat Islam di negara ini.

“Cara mereka menjalankan gerakan itu ternyata memberi kekeliruan kepada umat Islam dengan watak penyamaran yang menyerupai orang Islam sejati. Banyak modus operandi yang mereka gunakan contohnya, memberi makanan, bantuan khidmat bencana alam, bantuan mulakan perniagaan, kewangan, sukan dan pendidikan percuma.

“Sekarang pun banyak tadika yang wujud adalah sumbangan daripada gereja untuk mereka sebarkan dakyah Kristian kepada kanak-kanak. Ia menjadi kebimbangan kepada kita sebab nama tadika nampak Islam tapi realitinya tidak,” katanya.

Beliau berkata, dianggarkan antara 300 sehingga 500 individu yang murtad masih aktif di negara ini.

“Apa yang paling membimbangkan ialah identiti mereka yang mengamalkan cara hidup liberal yang boleh mengelirukan kita,” katanya.

Beliau turut menggesa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk sama- sama merangka satu tindakan susulan bagi menghalang gerakan Kristianisasi di negara ini.

“Kebanyakan NGO gemar adakan demonstrasi atau bantahan bagi menentang sesuatu, tetapi tindakan itu tidak beri penyelesaian masalah.

“Lebih baik NGO berbincang dan berfikir apa tindakan susulan yang boleh menghalang masalah ini daripada terus serius,” katanya.