KUCHING, 11 November:

Usaha kerajaan Sarawak menetapkan hala tuju sendiri dalam pendidikan menjadi satu tamparan hebat apabila Kerajaan Persekutuan seperti tidak berada pada pendirian yang sama.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chien Jen berkata baru-baru ini pendekatan ‘Gung Ho’ yang diambil oleh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dilihat akan menemui jalan buntu.

“Kerajaan mahu mengiktiraf sekolah persendirian Cina, namun universiti awam kita sendiri masih terikat dengan dasar negara,” kata Chong dalam satu sidang media hari ini.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Profesor Datuk Dr Muhammad Kadim Suaidi berkata, universiti awam terikat dengan dasar yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi walaupun Unimas telah diberi kuasa autonomi universiti.

UEC yang diguna pakai di sekolah persendirian Cina adalah setaraf dengan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), namun kurikulum sekolah-sekolah persendirian ini tidak termaktub dalam Akta Pendidikan 1996.

Standard Bahasa Malaysia UEC tidak sama dengan Sijil Pelajaran Malaysia terutamanya kurikulum subjek sejarah di negara ini.

Pada Rabu lalu, Adenan berpendapat ia adalah satu tindakan kurang bijak oleh kerajaan Persekutuan yang tidak mengiktiraf UEC tetapi mengalu-alukan pelajar asing menuntut di universiti awam di negara ini.

Menurut Chong, ini menunjukkan kerajaan negeri tidak mempunyai autonomi dan mereka perlu akur dengan dasar-dasar BN persekutuan.

Chong yang mengkritik Ketua Pemuda BN Sarawak Datuk Seri Fadillah Yusof dalam satu kenyataan bahawa, pilihan raya negeri tidak ada kaitan dengan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

“Adakah BN negeri mengasingkan diri mereka dengan BN persekutuan? Ia seolah-olah seperti semua usaha mereka menemui jalan buntu dan kesannya terkena pada batang hidung sendiri.

“Saya menyeru Fadillah untuk berdebat mengenai hal ini bagi melihat adakah BN Sarawak benar-benar diberi autonomi atau tertakluk kepada dasar dan kawalan kerajaan Persekutuan,” kata Chong.

Fadillah berkata, pilihan raya negeri itu akan memfokuskan kepada pencapaian Adenan dalam tempoh 19 bulan pentadbirannya dan kekal satu penggal lagi untuk memimpin Sarawak.

Beliau juga berkata rakyat Sarawak bijak menilai mengenai isu 1MDB dan masalah kepimpinan dalam UMNO yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri Tun Mahathir.

“Adenan telah menyatakan secara terbuka bahawa beliau akan bersara selepas satu penggal, semua rakyat Sarawak tahu tentang perkara ini.

“Adenan tidak pernah berbohong kepada kami dan kami percaya beliau akan mengotakan kata-katanya untuk bersara selepas satu penggal lagi.

“Tetapi jika Adenan mampu membuktikan pencapaiannya dalam tempoh dua tahun, kita akan menyanjung beliau sebagai pemimpin yang dihormati di Sarawak.

“Namun sekira berlaku sebaliknya, kita akan menghukum beliau dalam pilihan raya akan datang,” kata Fadillah.

Perang mulut antara Chong dan Fadillah bermula apabila Chong mengeluarkan kenyataan terhadap Adenan bahawa pemimpin yang rasuah dan zalim adalah bermula sebagai pemimpin yang baik kerana kuasa yang telah merosakkan mereka.

Terdahulu, Chong turut mempersoalkan usaha Adenan yang kurang bersungguh untuk melaksanakan rundingan dengan kerajaan Persekutuan mengenai kuasa autonomi di negeri itu.