KUALA LUMPUR, 9 November:

Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL), Eric Paulsen menyifatkan siasatan ke atas dua remaja yang masing-masing berusia 14 tahun dan 15 tahun di bawah Akta Perhimpunan Aman, jelas adalah tindakan diskriminasi dan berniat jahat.

Ini kerana, perhimpunan Bersih 4 yang dihadiri ratusan ribu rakyat Malaysia, termasuk ramai kanak-kanak berakhir secara aman.

“Apa alasan yang boleh diberikan pihak polis untuk dua kanak-kanak itu dipilih, melainkan latar belakang dan kecenderungan politik ibu bapa mereka?

“Kami ingin mengingatkan pihak berkuasa berhubung tanggungjawab mereka di bawah Akta Kanak-kanak 2001 dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak untuk melindungi serta membantu mereka tanpa sebarang diskriminasi, dan kebajikan serta kepentingan kanak-kanak perlu menjadi kebimbangan paling utama pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas anak Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali yang berusia 15 tahun, Basheer Azmin yang dipanggil polis di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah, kerana pembabitannya dalam perhimpunan Bersih 4, pada hujung Ogos lalu.

Paulsen terkejut dengan tindakan polis menyasarkan kanak-kanak dan aktivis akar umbi, Nashita Md Noor serta Bad Latif Mansor, kerana menyertai perhimpunan Bersih 4.

Beliau mengingatkan pihak berkuasa, dengan menyiasat kanak-kanak itu yang sekadar menjalankan hak mereka untuk menyertai perhimpunan aman boleh disalah anggap yang pasukan polis kekal dipolitikkan dan mengamalkan diskriminasi, apabila ia dikaitkan dengan kesalahan politik.

Sehubungan itu, LFL menggesa pasukan polis perlu bertindak profesional, adil dan cekap untuk terus menguatkuasakan undang-undang, mencegah dan mengesan jenayah sebenar, selain memberkas penjenayah sebenar, bukannya bimbang mengenai kesalahan politik membabitkan seteru politik kerajaan atau anak-anak mereka.