KLANG, 9 November:

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali memaklumkan, anak lelakinya akan menduduki semua kertas peperiksaan akhir terlebih dahulu, sebelum memberi keterangan kepada pihak polis berhubung penglibatannya dalam perhimpunan Bersih.

Beliau berkata, anak bongsunya yang berusia 15 tahun itu akan menghadapi peperiksaan mulai hari ini sehingga Jumaat.

“Peguam saya memberitahu polis bahawa anak saya akan menduduki peperiksaan akhir itu. Saya akan pastikan anak saya selesai menjalani peperiksaan itu terlebih dahulu, sebelum memberi sebarang keterangan,” katanya selepas menghadiri Pesta Deepavali, semalam.

Bagaimanapun, katanya, beliau sedang menunggu nasihat peguamnya untuk tindakan lanjut.

Mohamed Azmin menerusi laman sosial Twitternya pada Ahad memuat naik status menyatakan anak lelakinya itu dipanggil polis, bagi direkodkan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada jam 10 pagi hari ini, kerana terlibat dalam perhimpunan Bersih 4.