SHAH ALAM, 6 November:

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan, Ng Suee Lim bersedia untuk berhadapan dengan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos dalam apa keadaan sekali pun.

Suee Lim berkata demikian ketika mengulas berkenaan tindakan Jamal yang akan mengadakan sidang media berhubung kenyatannya berkenaan kampung Bagan Nahkoda Omar semalam.

“Tak mengapalah..ini politik..kalau Jamal nak buat sidang media, buatlah..saya biasa di kawasan Sekinchan di Sabak Bernam.

“Saya sudah lawan dengan tiga orang, dulu saya lawan (mantan Menteri Besar Selangor, Dr) Khir Toyo, sekarang saya lawan Noh Omar, dan saya akan berdepan dengan Jamal bila-bila masa, tak ada masalah,” katanya kepada wartawan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Pada 4 petang hari ini, dijangkakan Jamal yang juga Pengerusi Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Selangor akan mengadakan sidang media berkenaan bantahan terhadap cadangan Ng Suee Lim untuk menukar nama Bagan Nahkoda Omar kepada nama Cina.

Tambah Suee Lim, beliau juga berkata bahawa dirinya tidak gentar untuk berlawan dengan Jamal sekiranya ahli Umno itu akan bertanding sebagai calon partinya di Parlimen Sungai Besar.

Dakwanya, Jamal dikatakan berhasrat untuk mengambil kerusi parlimen di Sungai Besar dan bertanding atas tiket Umno melalui bantuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Suee Lim yang kelihatan agak marah menjelaskan bahawa tindakan Jamal menggelar ‘Cina Babi’ pada Perhimpunan Meraj 16 September lalu adalah tidak wajar.

“Oh..saya memang dah tunggu dia lama untuk berjumpa dalam pilihan raya sebab dia marah Cina babi..itu satu perkara yang tidak boleh dinafikan..(Jamal cakap dalam) Himpunan Merah, 16 September, terang-terang dia cakap Cina babi

“Itu saya nak bagitahu masyarakat di seluruh Malaysia, bahawa saya tunggu dia di pilihan raya akan datang di Parlimen Sungai Besar..sebab dia berhajat besar beserta dengan usaha keras melalui (Perdana Menteri Datuk Seri (Najib) untuk jadi calon Umno di Parlimen Sungai Besar

“Kalau dia jadi calon, kita tunggu dia di situ..sebab saya kenal sangat dia..siapa dia..dia orang yang paling tidak mengikut peraturan,” kata Setiausaha DAP Selangor itu lagi.

“Soal politik kita kena matang..kalau nak cakap Cina babi itu tidak bagus.”