KUALA LUMPUR, 6 November:

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencadangkan pihak berkaitan menjalankan siasatan ke atas Darul Ehsan Investment Group (DEIG).

Menurutnya, tindakan dan siasatan tuntas perlu dijalankan, bagi menghentikan kontroversi dan juga tuduhan-tuduhan yang dilemparkan ke atas syarikat berkenaan.

“Saya yakin kerajaan negeri tidak akan menentang mahupun menghalang apa jua bentuk siasatan atau pengauditan, kerana proses sebegini boleh membersihkan nama DEIG daripada terus terpalit dengan pelbagai tuduhan dan kontroversi, sekaligus membuang syak wasangka terhadap DEIG,” kata Abdul Khalid dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, Abdul Khalid mencadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) segera menjalankan satu siasatan menyeluruh ke atas DEIG, terutamanya mengenai tawaran pinjaman bank RM500 juta kepada salah sebuah anak syarikat kumpulan tersebut.

Menurut Abdul Khalid, SELCAT perlu mengesahkan tiada sebarang unsur salah guna kuasa atau pelanggaran tatacara serta etika pengurusan dan pentadbiran, walaupun DEIG telah tampil mengaku kewujudan tawaran pinjaman RM500 juta yang kemudiannya ditolak mereka.

“Pengakuan tersebut tidak bermakna isu ini boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja, malah sepatutnya menjadi satu alasan kukuh bagi SELCAT untuk memulakan siasatan.

“Di samping itu, tidak dapat disangkal lagi bahawa wujudnya merit bagi Jabatan Audit Negara untuk menjalankan kajian secara mendalam, bagi menentukan kesahihan semua dakwaan terhadap DEIG.

“Di peringkat negeri pula, adalah dalam bidang kuasa SELCAT atau Jawatankuasa Pilihan Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS) untuk menghubungi Bank Negara dan memohon siasatan bagi mendapatkan kepastian, bagaimana pihak bank komersil tersebut boleh menawarkan sejumlah pinjaman besar kepada sebuah syarikat (dan anak syarikatnya) yang didakwa masih belum beroperasi,” cadang Abdul Khalid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang.

Semalam, Ketua Pegawai Operasi (COO) DEIG, Soffan Affendi Aminudin mengakui, DEIG ada membuat permohonan pinjaman di beberapa bank bernilai RM500 juta.

Bagaimanapun, pinjaman itu ditolak ahli Lembaga Pengarah Menteri Besar Incoporated (MBI), selepas dibentangkan kepada pihak pengurusan.

Sebelum itu, Setiausaha Adun Barisan Nasional Selangor, Budiman Mohd Zohdi mendedahkan, DEIG melalui anak syarikatnya, DEIG Land Sdn Bhd sudah menerima tawaran pinjaman berjumlah RM500 juta daripada sebuah bank tempatan.

Malah menurut Budiman, ketika pinjaman tersebut dibuat dan diluluskan, DEIG Land hanya mempunyai dua ahli Lembaga Pengarah dan dua pemegang saham, dengan nilai satu ringgit seorang, iaitu Ketua Pegawai Eksekutif, Raja Shahreen Raja Othman dan Soffan Affendi.