KUALA LUMPUR, 5 November:

Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP) akan menjadikan kereta-kereta import khususnya kereta dari Amerika Syarikat (AS) mengalami penurunan harga sebanyak 30 peratus.

Ini ekoran kereta dari negara berkenaan akan mendapat penurunan duti import, sekiranya Malaysia bersetuju untuk menandatangani perjanjian berkenaan.

Jelas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed, ini menjadikan satu situasi baru yang mana syarikat kereta nasional iaitu Proton terpaksa bersaing dengan kereta-kereta import.

“Kita akan kurangkan cukai import dalam tempoh 12 tahun. Kereta pasang siap AS dikurangkan 30 peratus sebab dalam TPPA kita berunding untuk kurangkan duti, jadi kosong. Sekarang kereta Thailand tidak bayar duti import.

“Tetapi kereta Australia dan Jepun, mulai 1 Januari 2016 akan masuk Malaysia tanpa duti. Kita ada perjanjian bilateral dengan kedua-dua negara ini yang mana perjanjian ini mengatasi TPP.

“Kita berpendapat dalam jangka masa 12 tahun sudah memadai untuk Proton sesuaikan keadaan supaya dapat bersaing dengan syarikat luar negara,” katanya ketika menggulung Perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, pihak MITI yakin Proton mampu bersaing dan akan terus hebat dalam menghasilkan produk-produk automotif yang baru.

Sebagai membuktikan kerajaan berusaha untuk terus membantu Proton, satu skim pinjaman kepada pembekal-pembekal kereta nasional sekiranya mempunyai masalah dalam aliran wang tunai.

“Dulu Proton milik kerajaan, sekarang dah swasta, tapi kerajaan masih anggap Proton sebagai kereta nasional. Kita selalu adakan perbincangan, kita ada ikatan sentimen yang kuat.

“Ini kereta yang dibina Malaysia dalam tempoh 30 ke 40 tahun. Pendekatan kita adakan perbincangan dan mana yang kerajaan boleh bantu, kami akan bantu,” jelasnya ketika menjawab celahan soalan yang diajukan oleh Ahli Parlimen BN Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari.

Menjelaskan lebih lanjut, Mustapa berkata bahawa Barisan Nasional (BN) masih berpegang kepada janji untuk menurunkan harga kereta.

“Benar kita janji kurangkan harga kereta 20 peratus kepada 30 peratus dalam masa lima tahun. Sehingga Oktober tahun ini, harga kereta turun 17.9 peratus dan ini dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.

“Kita sedar apabila GST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) ganti SST, 10 peratus cukai jualan, 6 peratus GST, harga kereta turun dan syarikat kereta akan kurangkan harga. Hari ini negara hadapi tekanan penurunan nilai ringgit dan ianya beri tekanan kepada beberapa syarikat kereta, ada syarikat buat pengumuman akan kaji harga kereta. Ini diluar jangkaan kami. Memanglah tiada siap sangka ringgit turun 4.20.

“Sebelum masalah ini berlaku, sehingga Oktober 2015 purata penurunan harga kereta 17.9 peratus,” ujarnya lagi.