KUALA LUMPUR, 4 November:

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang hadir ke perhimpunan anjuran Bersih 4 hujung Ogos lalu.

Menurut beliau, tindakan Dr Mahathir menyertai himpunan berkenaan bukanlah disebabkan mantan perdana menteri itu menyokong himpunan tersebut.

“Dr Mahathir tidak menyokong Bersih 4, tetapi salah masuk kumpulan,” kata Zahid ketika menggulung Perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 di Dewan Rakyat hari ini.

Kenyataan Ahmad Zahid itu susulan nama Dr Mahathir disebut oleh salah seorang wakil rakyat yang berada di blok pembangkang, menyentuh mengenai kehadiran pemimpin Melayu dalam perhimpunan Bersih 4.

Ia sebagai menyokong ucapan Teresa Kok (DAP-Seputeh) yang pada ketika itu berhujah menegaskan bahawa Bersih 4 tidak didominasi oleh orang bukan Melayu.

Malah dalam masa yang sama, beliau menjawab dengan tegas bahawa kerajaan tidak memberi layanan ‘double standard’ kepada Bersih 4 meskipun Teresa mendakwa sedemikian.

Menurut Zahid, layanan sama rata diberikan kepada setiap rakyat Malaysia termasuk mereka yang menyertai himpunan 16 September lalu atau lebih dikenali sebagai Himpunan Baju Merah.

Ini dijelaskan ekoran Teressa mendakwa, polis memberi layanan istimewa kepada peserta-peserta himpunan Baju Merah yang lalu.

“Saya akan beritahu pihak polis, jika lokasi dibenarkan (maka) jangan ganggu…ini masalahnya (himpunan di lakukan) di kawsan yang tidak dibenarkan.

“Mengadakan perhimpunan 29 dan 30 (Ogos, menghampiri sambutan Hari Merdeka) apa maknanya kalau tidak ada udang di sebalik batu?

“Dalam hal ini saya fikir, kalau menganjurkan ikut undang-undang saya rasa tidak ada masalah Bersih 3 dan 4 mana ada water canon dan gas? Mana ada double standard,” jawab beliau yang juga Ahli Parlimen BN Bagan Datoh itu lagi.