SHAH ALAM, 4 November:

Syarikat penuh dengan kontroversi, Darul Ehsan Investment Group (DEIG) mengakui ada membuat permohonan pinjaman di beberapa bank bernilai RM500 juta.

Bagaimanapun, kata Ketua Pegawai Operasinya (COO), Soffan Affendi Aminudin, tawaran pinjaman itu ditolak ahli Lembaga Pengarah Menteri Besar Incorporated (MBI), selepas dibentangkan pihak pengurusan.

“Memang betul salah satu kaedah kita guna pakai adalah cuba dapatkan pinjaman. Kita sudah bentangkan kepada pengarah dan mereka tolak kertas cadangan pihak pengurusan.

“Kami masuk untuk buat rancangan strategik untuk lihat apa yang kita ada. Salah satu isu kita lihat adalah isu legasi, iaitu hutang kepada kerajaan negeri.

“Kaedah nak selesai macam-macam, contohnya ambil pinjaman, majukan pembangunan dan sebagainya. DEIG masih syarikat yang masih belum beroperasi dan bermodalkan RM2,” tegasnya ketika ditemui di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional Selangor, Budiman Mohd Zohdi mendedahkan, DEIG melalui anak syarikatnya, DEIG Land Sdn Bhd sudah menerima tawaran pinjaman berjumlah RM500 juta daripada sebuah bank tempatan.

Malah menurut Budiman, ketika pinjaman tersebut dibuat dan diluluskan, DEIG Land hanya mempunyai dua ahli Lembaga Pengarah dan dua pemegang saham, dengan nilai satu ringgit seorang, iaitu Ketua Pegawai Eksekutif, Raja Shahreen Raja Othman dan Soffan Affendi.

Susulan itu, Budiman mendesak Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali menjawab persoalan bagaimana sebuah syarikat yang dikatakan belum beroperasi, boleh menerima tawaran pinjaman bank sebanyak RM500 juta.

Soffan Affendi ketika ditanya mengenai perkara itu, tidak pasti sama ada ketika membuat pinjaman tersebut, Lembaga Pengarah DEIG Land masih terdiri daripada beliau dan Raja Shahreen sahaja.

Tambahnya, DEIG Land tidak boleh dianggap sudah beroperasi, kerana syarikat milik kerajaan negeri itu tidak menerima tawaran pinjaman tersebut.

“Kita tidak bincang secara terperinci lagi (dengan bank). Bila dapat tawaran bank, baru kita bincang lanjut. Setakat apa kita buat, kita terima tawaran pihak bank, kita bentang, tidak diluluskan, maka kita tidak bentang yang terperinci.

“(DEIG) hanya boleh dianggap beroperasi, jika menerima pinjaman itu. Kemudian baru fikir macam mana hendak bayar pinjaman.

“Kita dapat tawaran, tetapi butiran bincang selepas kita terima. Dalam kes ini, kita tidak terima tawaran itu,” katanya.