SHAH ALAM, 3 November:

Polis berjaya menumpaskan taktik tiga warga Amerika Latin yang cuba membawa keluar hasil samun mereka ke negara asal melalui perkhidmaran kurier dalam serbuan malam tadi.

Dua warga Columbia dan seorang warga Mexico ditahan di sebuah kondominium di Glomac Residency, Damansara kira-kira jam 10 malam kerana dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah membabitkan pekerja auditor di Sungai Way, Petaling Jaya, Oktober lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, serbuan di dalam rumah yang disewa sejak dua bulan lalu itu menemui pelbagai peralatan pecah rumah, barang kemas, wang tunai dari pelbagai negara, sepucuk pistol palsu, beg tangan pelbagai jenama dan satu set peralatan yang direka khas untuk mengganggu rakaman kamera litar tertutup dipercayai dibawa masuk dari Columbia.

Menurutnya, sindiket ini mensasarkan kawasan perumahan elit di sekitar Lembah Klang dan Petaling Jaya yang tiada penghuni serta mengambil barangan kemas seperti cincin, rantai, cincin berlian, telefon bimbit dan beg tangan berjenama.

“Siasatan mendapati sindiket ini akan memasukkan barang kemas yang dicuri dan dijahit di bahagian tepi baju dan pinggang bagi dihantar ke negara asal mereka.

“Kami percaya, taktik ini sudah beberapa kali digunakan namun siasatan masih diteruskan kerana tiada rekod penghantaran yang ditemui,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini.

Mohd Adnan berkata, sindiket ini menggunakan kenderaan mewah yang disewa untuk pecah masuk rumah mangsa dan dianggarkan kerugian mencecah jutaan ringgit.

Katanya, seorang daripada suspek mempunyai dokumen perjalanan yang sah, sementara seorang sudah tamat tempoh dan seorang lagi didapati tiada dokumen.

“Kami akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen bagi mengenal pasti rekod tiga suspek yang ditahan,” katanya.

Katanya, semua suspek berusia 29 hingga 47 tahun itu ditahan reman hingga Sabtu ini untuk siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan curi.