KUALA LUMPUR, 2 November:

Setakat hari ini, kerajaan telah membelanjakan RM231.45 juta untuk kos operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAS) penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac tahun lalu.

Manakala bagi tragedi pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine, sebanyak RM12.87 juta dibelanjakan untuk menangani nahas terbabit, menjadikan kos yang dibelanjakan bagi kedua-dua pesawat MAS tersebut adalah RM243 juta.

“Bagaimanapun, anggaran kos keseluruhan bagi misi pencarian MH370  tersebut tidak dapat ditentukan, kerana operasi pencarian masih dilaksanakan,” kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Ahli Parlimen DAP-Seputeh, Teressa Kok yang ingin tahu jumlah dibelanjakan kerajaan untuk operasi pencarian MH370 dan MH17.

Pada masa sama, keluarga mangsa bagi kedua-dua insiden tersebut telah diberikan pampasan setimpal, berdasarkan nilai-nilai yang ditetapkan mengikut Konvensyen Montreal 1999.

“MAS telah menawarkan jumlah pampasan pendahuluan dan Pakej Bantuan Kru berjumlah USD50,000 (RM214,925) sebagai sebahagian bayaran pampasan penuh kepada setiap waris atau keluarga penumpang dan anak kapal MH370.

“Setakat ini, seramai 236 waris telah menerima bayaran pampasan pendahuluan bagi tragedi MH17 dan 74 waris untuk insiden MH370.

“Jumlah pampasan yang diberikan kepada waris atau keluarga penumpang dan anak kapal dalam kedua-dua nahas tersebut sebanyak USD16.6 juta (RM7,135,510,000),” tambah Liow lagi.

Pesawat MH370 yang menggunakan Boeing 777-200ER, membawa 12 kru dan 227 penumpang dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing, sebelum hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac 2014.

Manakala 283 penumpang dan 15 kru yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terkorban, selepas pesawat MH17 ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine, pada 17 Julai tahun lalu.