KUALA LUMPUR, 2 November:

Pas menyifatkan Bajet 2016 yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini untuk menyelamatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, ahli Parlimen Pas-Pasir Mas, Nik Abduh Nik Aziz berkata juga merasakan Bajet 2016 tersebut juga menjaga kebajikan rakyat.

“Memang semua bajet jaga pihak kerajaan. Antara unsur utama mereka adalah jaga parti mereka termasuk Najib.

“Saya setuju bajet jaga Najib tapi ia juga jaga rakyat Malaysia.

“Kita tidak sokong (usul tolak bajet) kerana ada banyak bangkangan yang kita bangkang,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Meskipun tidak menyokong usul tolak bajet, Nik Abduh menegaskan Pas tetap tidak bersetuju dengan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (GST) dan berpendapat ia perlu diganti dengan cukai baru selaras dengan agama Islam.

“Banyak lagi cukai kerajaan boleh pungut tanpa melibatkan orang miskin.

“Asas penolakan kita adalah ia masukkan semua rakyat termasuk orang miskin kerana dalam Islam, cukai dipungut bila kerajaan tidak cukup duit dan bila kerajaan hendak ambil dari rakyat, kena ambil dari yang mampu dan berharta,” katanya.

Menurut Nik Abduh, pihaknya berharap kerajaan dapat memanggil mereka bagi membincangkan perkara-perkara yang berkait dengan kemajuan negara.

Bagaimana, beliau menegaskan kerjasama tersebut hanya melibatkan kepentingan rakyat dan bukannya kerjasama politik.

“Selama ini Pas terpinggir kerana dianggap musuh. Kalau kerajaan hendak berubah, maka kena panggil Pas, PKR dan DAP bincang.”