SUBANG JAYA, 31 Oktober:

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) perlu memantau aplikasi mudah alih dalam talian untuk syarikat kereta persendirian seperti Uber.

Liow berkata kementeriannya telah berbincang dengan SPAD dan menasihatkan agar mengawal selia syarikat kereta persendirian yang menyediakan perkhidmatan teksi secara dalam talian.

Katanya, jika SPAD tidak boleh mengharamkan Uber maka mereka perlu mengawal selianya, dengan memanggil agensi tersebut untuk menyelesaikan isu secepat mungkin.

Liow berkata pemandu teksi mendakwa syarikat-syarikat kereta persendirian tidak dikawal selia dan ini mewujudkan persaingan yang tidak sihat.

Bulan lalu, Badan Bertindak Pemandu Teksi Bersatu membuat bantahan kerana kenaikan harga bahan api (NGV), bebanan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan kewujudan teksi haram tidak berlesen.

Menurut mereka, syarikat-syarikat kereta persendirian seperti GrabCar dan Uber tidak diperakui oleh SPAD, keselamatan kenderaan mereka tidak terjamin dan pemandu tidak berlesen.

Namun dari sudut pengguna, perkhidmatan teksi di negara ini mempunyai reputasi yang tidak baik dan berpendapat perkhidmatan adalah lebih penting daripada harga tambang yang dikenakan.

Jelas Liow, isunya bukan semata-mata kerana pemandu teksi enggan berubah tetapi teknologi perkhidmatan teksi pada hari ini perlu menggunakan telefon pintar seperti aplikasi MyTeksi.

“Tetapi teksi dikawal selia oleh SPAD tetapi aplikasi ini tidak, kita tidak boleh mempunyai dua jenis polisi untuk perkhidmatan yang sama.

“SPAD perlu mendengar rintihan pemandu teksi dan mengambil kira mengapa mereka tidak berpuas hati dengan Uber,” katanya selepas merasmikan Program Keselamatan Jalan Raya dan Program Latihan Pemanduan Kebangsaan di sini hari ini.

Program ini adalah anjuran Pertubuhan Perintis Malaysia (MyPerintis) dengan kerjasama Proton, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Program ini bertujuan untuk mendidik belia mengenai keselamatan jalan raya dalam latihan pemanduan dalam usaha untuk mengurangkan kemalangan.

Menurut rekod Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), 80 peratus daripada kemalangan jalan raya dan kematian adalah disebabkan oleh kesilapan manusia.

Program ini memberi pendedahan kepada belia mengenai program 100 minit slot yang dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu ‘Mengetahui Keadaan Kenderaan Anda’ oleh Proton, ‘Sikap dalam Pemanduan’ oleh JKJR dan ‘Undang-undang dan Penguatkuasaan’ oleh PDRM.

Liow turut melahirkan kebimbangan bahawa kempen keselamatan jalan raya telah lama dilancarkan tetapi kadar kematian tetap terus meningkat.

“Kita perlu mengukuhkan kempen dengan menggunakan media sosial yang dekat dengan golongan muda,” katanya.

Bermula tahun ini, kementerian telah menetapkan semua kereta baru perlu dipasang dengan kerusi kanak-kanak.

Liow menambah majoriti kematian akibat kemalangan jalan raya adalah di kalangan penunggang motosikal.

“Daripada 820 kematian akibat kemalangan jalan raya yang direkodkan di Selangor sehingga September tahun ini, 508 kes adalah penunggang motosikal dan 49 adalah pembonceng motosikal,” katanya.