JOHOR BARU, 31 Oktober:

Pengurusan sekolah berhak menolak penempatan pengawal keselamatan di sekolah masing-masing, jika mendapati pengawal yang dibekalkan syarikat keselamatan kepada mereka, tidak memenuhi syarat ditetapkan polis, termasuk melalui proses saringan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, langkah itu juga sememangnya sebahagian daripada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang harus dilakukan guru besar atau pengetua, dalam menjamin keselamatan murid-murid dan pelajar sekolah.

“Kita minta guru-guru besar agar lebih prihatin bertanyakan syarikat keselamatan, sama ada pengawal yang dihantar ke sekolah mereka adalah pengawal yang ditapis oleh polis atau sebaliknya.

“Nak salahkan syarikat pengawal keselamatan, betul dan saya tidak nafikan. Tetapi, di sekolah, guru besar juga patut memainkan peranan, sebab kalau (maklumat) pengawal tidak dikemukakan kepada polis oleh syarikat itu, polis juga tidak tahu.

“Jadi, ia berbalik semula kepada pengurusan sekolah itu sendiri,” katanya selepas merasmikan sukan tahunan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Hwa, hari ini.

Nur Jazlan yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata demikian sebagai mengulas kes seorang pengawal keselamatan yang menjadi suspek kes rogol dan bunuh seorang pelajar tingkatan lima di Teluk Kumbar, Pulau Pinang pada Ahad lepas.

Menurutnya, kementerian sedang meneliti jenis tindakan yang akan diambil terhadap syarikat keselamatan bertanggungjawab dalam kes tersebut.

“Mereka telah menjawab surat tunjuk sebab yang dihantar kementerian, sehari selepas kejadian.

“Kalau mengikut prosedur, kita akan bagi surat amaran, selepas itu kalau berlaku lagi kes, kita akan tarik balik lesen syarikat,” katanya.

Sehingga kini, berpuluh daripada lebih 800 syarikat keselamatan di seluruh negara telah ditarik lesen operasi, rentetan kegagalan memenuhi syarat kementerian, tambahnya.

Mengenai hasil siasatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa (EAIC) yang mendapati seorang tahanan polis mati, kerana hentakan senjata tumpul di dada dan badan ketika dalam tahanan, dua tahun lalu, Nur Jazlan berkata, pihaknya bersimpati dengan keluarga Allahyarham dan akan memastikan siasatan dilakukan semula.

“Kita tidak akan melindungi mana-mana pihak yang melanggar peraturan, namun siasatan perlu dilakukan semula, untuk mengetahui kematian tersebut sama ada disebabkan tindak-tanduk polis, ataupun ada sebab-sebab lain,”  katanya.

Semalam, EAIC mengesahkan kematian Syed Mohd Azlan Syed Mohamed Nur pada 3 November 2013, mempunyai kaitan dengan kekerasan polis, selepas mengesan 61 kesan kecederaan di seluruh badannya dipercayai dipukul dan trauma, akibat hentakan senjata tumpul di atas dada.

Syed Mohd Azlan ditahan pada 3 November 2013, di bilik sewanya di Teluk Ramunia, Sungai Rengit, Pengerang, Johor kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan dan menggunakan senjata api.

Dia disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Bandar Penawar, pada hari sama, ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan perintah tahanan reman.