KUALA LUMPUR, 31 Oktober:

Dalam usaha menambah pendapatan negara, Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (Mevta) mencadangkan hanya perisa rokok elektronik (e-rokok) atau vape yang bernikotin dikenakan cukai.

Presidennya, Allan Foo berkata, saranan mengenakan cukai ke atas perisa vape bernikotin, kerana ia berpotensi menggantikan tembakau.

Beliau yang dipetik Berita Harian sebagai berkata, perisa vape yang tidak mengandungi nikotin serta mod vape tidak perlu dikenakan cukai, kerana ia tidak memudaratkan kesihatan serta boleh menggalakkan perokok tegar berhenti merokok.

Tegasnya, jika cukai dikenakan ke atas perisa vape tidak bernikotin dan mod vape, ia akan memberi kesan kepada pengguna berpendapatan rendah serta menjadi penghalang untuk perokok tegar mengubah tabiat mereka.

“Cukai itu akan merencatkan niat mereka untuk beralih kepada vape dan mendorong mereka terus menghisap rokok,” katanya yang dipetik akhbar harian itu, selepas melancarkan kod etika pengguna vape, semalam.

Kod etika itu antara lain melarang penjualan vape kepada individu di bawah 18 tahun, pengguna vape tidak menghembus asap kepada orang lain dan tidak menggunakan vape di tempat berhawa dingin.