KUALA LUMPUR, 31 Oktober:

Presiden merangkap Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy berkata, kerajaan memutuskan untuk menggunakan hutang bagi projek-projek 1MDB.

Jelasnya, hutang 1MDB sebanyak RM42 bilion bakal dilangsaikan, susulan RM16 bilion yang diperolehi daripada jualan aset Edra Energy, sekurang-kurangnya RM11 bilion daripada tawaran-tawaran Bandar Malaysia dan jualan hutang RM16 bilion kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) di Abu Dhabi.

“Ini bermakna, disiplin-disiplin tertentu perlu ada, untuk membayar faedah dan menguruskan aset-aset dengan baik.

“Pada masa sama, dana-dana kerajaan boleh digunakan dengan lebih baik untuk tujuan lain,” katanya dalam satu sidang media di Hotel Royale Chulan, hari ini.

Jelasnya, tawaran 1MDB sebagai pengeluar tenaga bebas (IPP) bertujuan untuk menggunakan pengukuhan itu bagi mengurangkan kadar yang dikenakan kepada pembekal tenaga, Tenaga Nasional Bhd ( TNB).

Tegasnya, walaupun pengurangan sekadar satu sen, ia mampu menjimatkan wang TNB dan rakyat sebanyak RM2.9 bilion.

Arul Kanda turut mendedahkan, ansuran bayaran pinjaman berserta kadar faedah tahunan yang dikenakan ke atas hutang RM42 bilion syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu berjumlah RM2.4 bilion, setiap tahun.

Jelasnya, wujud ketakpadanan dengan hutang yang terpaksa dikurangkan oleh 1MDB, justeru tawaran awam permulaan (IPO) aset-aset tenaga perlu ditangguhkan, sehingga masalah ketakpadanan itu diselesaikan, sama seperti syarikat komersial lain yang bertindak lebih berhati-hati.

Daripada mengambil dana tambahan, penyusunan semula 1MDB melibatkan pihak-pihak luar yang mengambil alih beberapa kepentingan dalam beberapa projeknya.

Arul Kanda bagaimanapun mengakui, 1MDB perlu membuat pinjaman jangka pendek sebanyak RM900 juta daripada kerajaan, untuk menampung kekurangan aliran tunai dan pihaknya akan membayar balik pinjaman berkenaan.

Beliau berkata, kos bagi projek Bandar Malaysia di bekas pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Sungai Besi pula dijangka mencecah kira-kira RM11 bilion.

Tawaran terakhir yang dibiayai sepenuhnya untuk Bandar Malaysia itu, telah dikurangkan kepada empat pihak yang dijangka dikemukakan dalam tempoh 10 hari lagi.

Selain itu, katanya, 1MDB turut mengekalkan projek pembangunan hartanah Tun Razak Exchange (TRX) serta tanah-tanah di Pulau Pinang dan Pulau Indah untuk perolehan pembangunan.