SHAH ALAM, 30 Oktober:

Belanjawan Selangor 2016 yang dibentangkan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali hari ini memperuntukkan RM2.88 billion dan dijangkakan akan mengalami defisit berjumlah RM630 juta.

Belanjawan yang dibentangkan itu diklasifikasikan sebagai bajet berimbang dengan membawa tema ‘Membangun Smart Selangor Yang Peduli”

Bagi Belanjawan Selangor 2016, Azmin memperuntukkan RM1.44 billion khusus untuk perbelanjaan mengurus dan jumlah yang sama iaitu RM1.44 billion untuk perbelanjaan pembangunan.

Dalam perkembangan yang sama, Azmin menganggarkan hasil untuk 2016 meningkat 14.2 peratus kepada RM2.25 bilion dengan penyumbang utama kepada hasil daripada premium tanah sebanyak 48.1%, hasil cukai tanah 20.9% dan urus niaga berkaitan tanah 9.1%.

“Sehingga 30 September 2015, Kerajaan Negeri mencatatkan kutipan hasil RM2.048 bilion atau pencapaian 103.98 peratus berbanding dengan anggaran hasil 2015 iaitu RM1.97 bilion.

“Hasil Cukai mencatatkan kutipan iaitu RM556.9 juta, hasil bukan cukai RM1.31 bilion dan terimaan bukan hasil iaitu RM 80.4 juta,” katanya.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa itu lagi, belanjawan yang dibentangkan hari ini di Dewan Negeri Selangor adalah belanjawan perancangan awal bagi mewujudkan ‘Smart State’ dalam jangka masa tiga tahun dengan memberikan keutamaan pembangunan dinamik dan organik.