KUALA LUMPUR, 29 Oktober:

“Tidak mengapa jika dia tidak boleh, tetapi kenapa dia minta saya untuk tunggu dan jangan pergi?”

Ini soalan yang diajukan Amber Chia selepas seorang pemandu yang diupah membawanya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi pembukaan Hello Kitty Gourmet Cafe di Sunway Pyramid, gagal tiba.

Model kelahiran Sabah itu berkata, sebaik tiba dari Vietnam, dia menghubungi pemandu syarikat kereta sewa — Extreme Limousines and Tours Sdn Bhd — yang memintanya menunggu selama 45 minit kerana dia baru saja mengambil penumpang dari Kuala Lumpur, tetapi berjanji akan kembali untuk mengambilnya.

Hampir sejam kemudian, Chia berkata, dia menghubungi semula dan sekali lagi pemandu itu memintanya menunggu lagi 45 minit, dan kali ini pemandu itu mendakwa `ada kecemasan’ yang membuatkannya lambat.

Chia juga mendakwa dia menghubungi pemandu itu beberapa kali lagi, dan pemandu itu berkata samada dalam perjalanan atau membayangkan yang dia akan tiba tidak lama lagi.

Ada juga panggilan yang katanya, tidak berjawab.

“Saya tertekan kerana saya sudah berjanji dengan untuk menghadiri majlis pembukaan, yang sepatutnya dijadualkan pada jam 7.30 malam ke atas.

“Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk berada di situ kerana saya telah dibayar,” katanya kepada The Rakyat Post.

Chia, yang juga model Asia pertama dipilih menyertai kempen jam Guess, hanya tiba di kafe sekitar jam 9.30 malam selepas dia memutuskan untuk mengambil teksi ke Sunway.

Pelakon juga berkata, apabila dia menghubungi pemandu itu, dia berkata, dia ingatkan Chia tiba pada jam 7.30 malam.

“Bagaimanapun, pembantu peribadi saya dan pelanggan sudah mengesahkan dengannya mengenai ketibaan saya, iaitu pada jam 6 petang.”

Awal hari ini, The Star, dalam satu artikel bertajuk “Car rental company lodges police report over ‘hijacked limo-ride’”, memetik jurucakap dari syarikat kereta itu mendakwa bahawa pemandu terbabit diminta membawa pelakon superstar Tamil, Rajinikanth ke sebuah hotel di Kuala Lumpur kira-kira jam 4 petang pada Isnin lalu.

Pemandu itu bagaimanapun, mendakwa memberitahu wakil bintang filem itu yang juga warga tempatan bahawa dia perlu membawa penumpang lain ke Selangor, menurut laporan itu.

Jurucakap itu kemudian dilaporkan berkata, telefon bimbit pemandu berkenaan kemudian dirampas oleh wakil tempatan bintang filem itu dan memaksanya memandu ke Melaka.

Apabila perkara itu dikemukakan kepada Chia, dia berkata:

“Dia jawab telefon sekurang-kurangnya tiga kali apabila saya hubungi.”