KUALA LUMPUR, 29 Oktober:

Insiden pembunuhan Intan Suraya Mawardi yang berusia 17 tahun oleh pengawal keselamatan sekolah seharusnya boleh dielakkan, kata Timbalan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye.

Lee berkata majikan dan Jabatan Sumber Manusia (HR) perlu lebih telus dalam menyaring dan menapis pengawal keselamatan demi kebaikan semua pihak.

Beliau berkata, mereka sentiasa boleh mengurangkan risiko membuat keputusan yang silap dengan membuat siasatan yang lebih teliti ke atas latar belakang termasuk rekod jenayah dengan pihak polis.

“Masalah ini tidak dipedulikan sehingga ada nyawa yang hilang.

“Ia bukanlah satu jaminan, tetapi jika apa-apa langkah itu telah diambil, banyak  insiden tragis seperti itu dapat dielakkan, ” katanya kepada The Rakyat Post.

Lee berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden pembunuhan Intan Suraya Mawardi, 17 yang ditemui mati dalam keadaan yang mengerikan pada 25 Oktober lalu, dengan lehernya dikelar di dalam bilik tidur sendiri di Teluk Kumbar, Pulau Pinang.

Seorang lelaki berusia 20-an, ditahan bagi membantu dalam penyiasatan kes tersebut dan dipercayai merupakan teman lelaki mangsa bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Suspek yang juga seorang penagih dadah, telah ditangkap dua bulan lalu bagi kesalahan melibatkan dadah.

Aktivis sosial veteran itu berkata, ia bukan kali pertama individu diupah sebagai pengawal keselamatan tanpa sebarang pengesahan kelayakan.

Lee berkata, majikan dan Jabatan Sumber Manusia tidak perlu mengambil jalan pintas dengan mengatakan bahawa mereka mahu memberi bekas banduan dan penagih dadah peluang kedua.

“Sememangnya penting membuka pintu peluang kepada mereka yang memerlukan kerana kebanyakan syarikat tidak akan mengupah bekas banduan dan penagih dadah, tetapi ia tidak seharusnya menjadi alasan untuk membuat proses pengambilan itu terlalu mudah.

“Membantu orang dengan memberikan peluang kedua adalah perkara yang baik tetapi juga merupakan satu cabaran besar,” kata Lee.

Katany lagi, sekiranya majikan benar-benar mahu membantu individu yang kebiasaannya dipinggirkan masyarakat, mereka perlu memastikan individu-individu tersebut menjalani pemulihan yang betul.

“Oleh itu, membantu mereka mendapatkan pekerjaan merupakan peluang terakhir mereka untuk mengubah hidup mereka.

“Tetapi mereka mesti dibimbing dengan betul supaya majikan boleh mengambil tindakan pantas jika terdapat tanda-tanda bahawa mereka tergelincir kembali kepada tabiat lama,” tegasnya