KUALA LUMPUR, 29 Oktober:

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerima permohonan maaf bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhubung kes fitnah beliau.

Menerusi akaun Facebook beliau, Najib menegaskan beliau menerima permohonan tersebut kerana Islam menuntut umatnya tidak menfitnah atau menyebarkan dusta serta menggalakkan umatnya bermaaf-maafan

“Saya menerima permohonan maaf Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkenaan kes fitnah beliau ke atas saya.

“Islam menuntut umatnya tidak menfitnah atau menyebarkan dusta,” katanya di sini hari ini.

Semalam Nizar yang didakwa atas tuduhan memfitnah Najib dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak selepas beliau memohon maaf secara terbuka kepada perdana menteri.

Mohammad Nizar kemudian memohon maaf secara terbuka dan memaklumkan beliau kini menyedari bahawa kenyataannya terhadap Najib, seperti yang disebut dalam pertuduhan, adalah tidak berasas.

“Oleh yang demikian, saya dengan ikhlas dari hati ingin memohon maaf kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan berjanji akan lebih berhati-hati supaya kejadian seumpamanya tidak akan berulang lagi,” kata Nizar.