KUALA LUMPUR, 29 Oktober:

“Sudah dua bulan kami dapati banyak kelemahan dan kekurangan yang dijanjikan oleh Malaysia Airlines System (MAS) kepada pekerja yang dihentikan kerana ramai pekerja ini mengadu kepada Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) bahawa ada di antara mereka masih tidak menerima pampasan yang dijanjikan oleh pihak MAS,” kata Presiden NUFAM, Ismail Nasaruddin.

Menurutnya, pampasan seperti 30 peratus penambahan yang ditawarkan MAS kepada sesetengah pekerja yang dihentikan itu tidak dibayar seperti yang telah dijanjikan.

“Ramai di antara mereka ini akhirnya dimaklum pada saat akhir yang mereka tidak layak untuk menerima pampasan tersebut. Mengapakah harus dimaklum kepada mereka pada saat terakhir, walhal mereka telah menerima surat pemberhentian dan juga surat untuk dibayar.

“Ada juga suami dapat bayaran dan isteri tidak mendapat bayaran pula. Malah hanya kurang 10 peratus sahaja pekerja daripada 6,000 pekerja MAS yang telah dihentikan oleh syarikat penerbangan itu mendapat tawaran pekerjaan di syarikat lain‎,” jelasnya.

Ismail berkata, ramai di antara pekerja-pekerja ini telah hilang keyakinan mereka terhadap sistem yang dijanjikan oleh pihak MAS dan Khazanah Nasional Berhad. apabila mereka tidak mendapat pampasan yang telah dijanjikan.

“Pekerja-pekerja, suami isteri dan juga yang mempunyai masalah kesihatan sepatutnya mendapat pampasan 30 peratus atas pampasan pemberhentian. Malangnya banyak pula alasan yang diberikan oleh pihak MAS, walaupun setelah mereka menulis dan menghubungi pihak majikan, MAS masih tidak memberi maklum balas mengenai perkara tersebut.

“Pihak NUFAM juga telah mengadu kepada pihak Kementerian Sumber Manusia mengenai perkara ini tetapi sehingga ke hari ini, tiada apa-apa maklum balas atau jawapan dari pihak Kementerian. Jadi bagaimana haruskah pihak pekerja mahupun NUFAM percaya dan yakin dengan apa yang telah dijanjikan oleh pihak-pihak ini?,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ismail turut mempersoalkan di manakah letaknya tanggungjawab mereka terhadap kaum pekerja di dalam negara ini jikalau syarikat yang lain menghentikan pekerja tempatan seperti MAS?

“Seramai 100 lebih pekerja telah memfailkan kes dibawah Seksyen 20 terhadap majikan MAS dan mereka juga akan membuat laporan seterusnya kepada pihak-pihak tertentu. NUFAM amat kecewa dengan sistem yang sedia ada dan mengharapkan apa yang dijanjikan oleh pihak-pihak tertentu untuk menjaga kebajikan dan masa depan pekerja mesti dikotakan.

“Kerajaan hari ini harus tingkatkan sistem perlindungan pekerja melalui Bajet 2016 yang telah dibentangkan baru-baru ini. Kesatuan juga merasa amat kecewa terutama sekali dimana pekerja swasta tidak diberi tumpuan dan perhatian di dalam pembentangan Bajet 2016 tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, NUFAM turut menyelar kerajaan kerana menimang pekerja asing lebih dari pekerja tempatan sendiri kerana apa yang terjadi kepada pekerja tempatan kita sendiri ‎adalah amat menyedihkan sekali.

“Pekerja kita dipinggirkan atas sebab kerajaan lebih menumpu kepada pekerja-pekerja asing dan memberi lebih tumpuan terhadap mereka. Kerajaan hari ini pun mengambil sikap ‎memilih pekerja asing dari memberi ruang pekerjaan dan memastikan pekerja tempatan sendiri diberi peluang pekerjaan.

“Ramai pekerja tempatan juga telah dihentikan oleh majikan mereka dan apa yang kami lihat, pekerja tempatan tidak mendapat perlindungan yang secukupnya oleh pihak kerajaan. Apakah ia bermakna pekerja tempatan ini sudah tidak laku dan tidak mempunyai kualiti untuk bekerja?

“Kesatuan di Malaysia juga merungut atas sikap tersebut dan merasakan kerajaan hari ini tidak membuat apa yang seharusnya untuk melindungi hak pekerja tempatan sehingga ramai pekerja pekerja ini masih susah untuk mencari pekerjaan,” katanya.

Tambahnya, NUFAM tidak mahu melihat pekerja-pekerja tempatan kita merempat dan juga menganggur atas sebab kelemahan sistem yang seharusnya memberi keutamaan terhadap pekerja-pekerja tempatan. ‎

“NUFAM memohon kerajaan memastikan semua perkara yang telah dijanjikan oleh MAS dan Khazanah Nasional dilaksanakan tanpa membuang masa dan mereka harus membayar penuh kepada pekerja-pekerja ini tanpa sebarang alasan lagi.‎

“Pampasan pemberhentian kerja yang telah diterima oleh pekerja-pekerja MAS ini juga sudah hampir kurang atas sebab mereka harus menanggung hutang dan beban yang selama ini dipikul semasa masih bekerja,” jelasnya.