KOTA KINABALU, 23 Oktober:

Menyifatkan pengumuman Bajet 2016 yang baru dibentangkan hari ini sebagai ‘bajet rakyat’, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata, ia memenuhi keperluan dan kebajikan rakyat.

“Walau apa pun keadaan ekonomi, kerajaan tidak berkompromi dalam melindungi dan mempertahankan kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau turut menyifatkan Bajet 2016 sebagai ‘bajet realistik’ di mana ia sesuai dengan keadaan ekonomi negara dan global.

“Kita turut menyokong penuh tindakan kerajaan dan inisiatif dalam berdepan dengan kemerosotan ekonomi global untuk memperkukuhkan ekonomi negara,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pembentangan bajet di kediamannya di Sri Gaya di sini.

Turut hadir, menteri kabinet dan timbalan menteri kabinet dan juga ketua-ketua jabatan kerajaan negeri itu.

Katanya, kerajaan negeri itu turut berterima kasih dengan pengumuman Lebuhraya Pan Borneo yang bebas tol serta peruntukan RM12.8 bilion untuk pembangunan fasa satu lebuhraya itu membabitkan 706 kilometer dari Sindumin ke Tawau yang dijangka bermula tahun depan.

Beliau turut menyatakan terima kasih di atas pengecualian cukai barangan dan perkhidmatan sebanyak 6% bagi penerbangan domestik ke pendalaman Sabah dan Sarawak.

Sebanyak RM29.2 bilion jumlah keseluruhan peruntukan bagi pembangunan Sabah dan Sarawak yang dibentangkan dalam Bajet 2016.