KUALA LUMPUR, 21 Oktober:

Pihak berkuasa Indonesia sudah mengenal pasti syarikat yang terlibat dalam kebakaran hingga menyebabkan jerebu di negara itu, namun mendapati hanya 3 peratus syarikat yang berdaftar dan selebihnya adalah pembakaran yang dilakukan peladang kecil.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perkara tersebut disampaikan pihak berkuasa Indonesia ketika lawatannya ke negara itu 11 Oktober lalu.

Menurutnya, siasatan mendapati hanya tiga peratus kebakaran tersebut melibatkan peladang besar sementara selebihnya membabitkan peladang kecil.

“Kebakaran ini ada yang berlaku dengan sendiri kerana cepat merebak di antara satu tempat ke satu tempat yang lain.

Ia juga disebabkan keadaan yang amat kering di sana.

“Indonesia masih lagi menyelidik perkara ini dan biarlah undang-undang mereka menentukan dan menjalankan siasatan,” katanya katanya ketika ditemui media pada Pameran dan Persidangan Peralatan Khas Polis Asia di PWTC di sini hari ini.

Beliau berkata,  Indonesia meminta bantuan aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) pesawat Bombardier CL 415 MP bagi menyertai misi memadamkan kebakaran di kawasan Sumatera Selatan.

Menurutnya, pihaknya menerima maklum balas positif daripada pihak Indonesia berhubung keberkesanan aset tersebut.

“Keberkesanan tidak boleh dinafikan tapi malangnya kita hanya mempunyai sebuah pesawat yang boleh beroperasi.

“Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memberi saranan kepada Maritim untuk meneruskan menghantar pasukan untuk membantu dalam misi tersebut,” katanya.

Pasukan pertama yang terdiri daripada 25 pegawai dan anggota Maritim dihantar ke sana pada 9 Oktober lalu telah kembali ke tanah air, semalam.

Sementara itu, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar meminta Jabatan Alam Sekitar menjalankan analisa secara terperinci.

Wan Junaidi berkata, pencemaran udara belum sampai ke tahap yang boleh dikatakan merbahaya, namun hanya dua atau tiga tempat sahaja iaitu di Shah Alam dan Banting keadaan kawasan itu kurang sihat.