KUALA LUMPUR, 19 Oktober:

Pakar Sakit Puan Hospital Tengku Jaafar Seremban, Dr Krishna Kumar berkata tujuan asal pil Cytotec dan Misoprostol untuk penyakit gastrik namun penyelidikan mendapati ianya juga boleh digunakan untuk menggugurkan kandungan.

Katanya, pil tersebut digunakan untuk penyakit gastrik dan tidak dilesenkan untuk menggugurkan anak serta di bawah kawalan dan didaftarkan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk merawat penyakit ulser duodenum dan ulser gastrik.

Katanya, penggunaan pil itu mestilah dikawal kerana ianya berbahaya dan boleh mendatangkan maut sekiranya disalah guna serta tidak mendapat nasihat daripada doktor yang bertauliah.

“Pil ini tidak dijual di farmasi dan ada implikasi tertentu apabila menggunakannya,” katanya kepada The Rakyat Post sambil menjelaskan pil tersebut hanya diluluskan untuk jualan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, terdapat satu kes seorang wanita meninggal dunia selepas memakan pil Cytotec apabila mengetahui dia mengandung luar rahim dan berlaku pendarahan namun enggan mendapatkan rawatan di hospital hingga maut.

Katanya, walaupun terdapat preskripsi doktor untuk penggunaan pil itu untuk masalah gastrik namun ianya disalahgunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, kedua-dua jenis pil itu memang ditauliahkan untuk digunakan dalam kes tertentu seperti individu yang mengandung kurang daripada tiga bulan dan perlu menggugurkan kandungan bagi tujuan keselamatan.

“Dalam hospital kerajaan juga ianya digunakan dengan kebenaran Ketua Pengarah Kesihatan berdasarkan kes tertentu.

“Cara penggunaanya adalah dengan memasukkan pil itu ke dalam kemaluan atau makan seperti biasa,” katanya.

Difahamkan, pil itu disumbat di dalam kemaluan dan hanya dalam tempoh tiga jam individu itu akan turun darah dan berlakulah keguguran.

pil gugur 2
Penjualan pil gugur di laman sosial dilihat semakin membimbangkan namun usaha kerajaan melalui bahagian farmasi menyekat dengan menutup sesawang ini gagal.

Dr Krishna berkata, kaedah tersebut sangat berbahaya kerana seseorang itu perlu tahu kesan sampingan yang dialami dan perlu menerima rawatan selanjutnya apabila terdapat perubahan yang luar biasa selepas penggunaan ubat itu.

Beliau yang juga bekas pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia berkata, penjualan pil gugur di laman sosial dilihat semakin membimbangkan namun usaha kerajaan melalui bahagian farmasi menyekat dengan menutup sesawang ini gagal.

“Mereka akan muncul dengan nama lain dan terus menjual pil gugur walaupun sebelum ini ada tangkapan daripada pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, bagi mengurangkan permintaan pil gugur di laman sosial ini, pihaknya mencadangkan kerajaan untuk memulakan pelajaran seks di sekolah.

Katanya, dalam usaha lain, beliau turut mencadangkan pil perancang untuk mudah diperolehi untuk mereka yang berkahwin atau belum.

“Apabila pil perancang ini mudah diperolehi, mereka ini tidak mengandung dan tidak perlu menggugurkan kandungan.

“Tetapi keadaan sosial negara ini tidak menerimanya dan ianya sukar untuk diatasi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah ketika dihubungi mengesahkan tiada laporan yang diterima berhubung penjualan pil gugur di laman sosial.

Namun, kesalahan menggugurkan kandungan secara haram boleh dianggap jenayah dan disiasat mengikut Seksyen 312 Kanun Keseksaan.

Kesalahan ini adalah membabitkan tindakan individu yang menggugurkan anak dan ianya boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, lambakan iklan dengan kata-kata memujuk seolah-olah menggalakkan lagi masalah sosial yang semakin membimbangkan kini.

Carian pil gugur di laman sosial tidak sukar kerana dengan menaip ‘pil gugur’, pelbagai laman sosial dengan berbagai nama akaun akan terpapar.

Tinjauan The Rakyat Post mendapati mendapati aktiviti penjualan produk ini bebas dipasarkan di laman sosial seperti Facebook, Twitter mahupun Instgram yang kononnya ingin membantu golongan wanita yang terlanjur dan menghadapi masalah kewangan tanpa memikirkan soal larangan dalam agama.

Antara lama sosial yang menawarkan pil gugur adalah Pil Gugur Berkesan yang mengiklankan pil itu secara bebas di laman Instagram dan teknik penjualan tersebut hanya melalui sistem ‘Whatsapp’ atau sistem pesanan ringkas (SMS).