SHAH ALAM, 19 Oktober:

Tujuh individu, termasuk Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu, Datuk Jamal Md Yunos akan dipanggil polis, susulan penganjuran himpunan haram di hadapan Bangunan Umno Ampang Jaya, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, tindakan penganjur yang degil dan bertindak meneruskan himpunan Selamatkan Selangor adalah salah, walaupun polis telah menolak permohonan mereka.

Menurutnya, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 9(5), kerana gagal mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012.

Perhimpunan tersebut pada awalnya dijadualkan berlangsung di Spectrum, Bandar Baru Ampang, namun selepas permohonan ditolak ketua polis daerah, penganjur bertindak menukar lokasi himpunan ke perkarangan bangunan Umno Ampang Jaya, di Jalan Ampang.

“Kita menyiasat kes itu, walaupun ianya dibuat di perkarangan bangunan Umno, kerana tiada notis yang diterima dan ucapan mereka boleh didengari ramai orang di luar.

“Semua individu yang berucap pada himpunan itu akan dipanggil untuk memberi keterangan bermula hari ini,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di Mes Pegawai Kanan Polis, di IPK Selangor, hari ini.

Beliau berkata, disebabkan penganjur tidak mengadakan himpunan di dalam dewan, jadi mereka perlu menghantar notis 10 hari sebelum berhimpun.