KUALA LUMPUR, 19 Oktober:

Keuntungan di atas penderitaan orang lain.

Itulah yang dapat digambarkan kepada peniaga di laman sosial apabila mereka berani menawarkan pil gugur kepada pengguna tanpa rasa bersalah.

Lambakan iklan dengan kata-kata memujuk seolah-olah menggalakkan lagi masalah sosial yang semakin membimbangkan kini.

Carian pil gugur di laman sosial tidak sukar kerana dengan menaip ‘pil gugur’, pelbagai laman sosial dengan berbagai nama akaun akan terpapar.

Tinjauan The Rakyat Post mendapati mendapati aktiviti penjualan produk ini bebas dipasarkan di laman sosial seperti Facebook, Twitter mahupun Instgram yang kononnya ingin membantu golongan wanita yang terlanjur dan menghadapi masalah kewangan tanpa memikirkan soal larangan dalam agama.

Antara lama sosial yang menawarkan pil gugur adalah Pil Gugur Berkesan yang mengiklankan pil itu secara bebas di laman Instagram dan teknik penjualan tersebut hanya melalui sistem ‘Whatsapp’ atau sistem pesanan ringkas (SMS).

Seorang penjual yang dikenali sebagai Ayu, kebanyakan pembeli adalah pasangan muda yang sudah terlanjur dengan kekasih.

Dia yang bekerja di sebuah klinik swasta berkata, bekalan ubat tersebut diperolehi daripada doktor dan hanya terlibat dalam proses penjualan sahaja.

“Ramai yang menghubungi saya kerana takut dan terdesak selepas terlajur bersama kekasih mereka tetapi bagi saya perkara itu normal dan saya sebagai penjual hanya ingin membantu dan menyelesaikan masalah mereka.

“Penjualan pil ini mendapat perhatian kerana kebanyakan pelanggan kami berlatarbelakangkan orang yang susah, maka untuk ke klinik swasta dan membuat pengguguran akan mengundang lebih banyak kos dan soal jawab kerana mereka tiada ikatan perkahwinan yang sah,” katanya kepada The Rakyat Post.

Ariana berkata, terdapat dua jenis pil gugur yang ditawarkan Cytotec dan Misoprostol yang dijual dengan harga RM350 untuk 12 biji termasuk ubat cuci selepas proses pengguguran dilakukan.

Selain itu, penjual di laman sosial ini turut memberikan khidmat nasihat sehingga proses pengguguran bayi selesai serta ubat rawatan sampingan seperti ubat tahan sakit, ubat saraf atau kawal darah dan ubat cirit birit yang merupakan antara kesan sampingan yang akan dialami oleh pengguna.

Katanya, masa penguguran kandungan adalah berbeza dengan pengambilan pil Cytotec akan mengambil masa kurang dari 12 jam sementara Misoprostol pula kurang dari 24 jam.