GUA MUSANG, 19 Oktober:

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan akan menggunakan pendekatan baru, untuk merapatkan hubungan ibu bapa dan anak Orang Asli dengan pengurusan Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi.

Pengarahnya, Ab Aziz Abdullah berkata, antara pendekatan itu ialah mengadakan lebih banyak program kemasyarakatan, sama ada anjuran JPN atau badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak korporat.

“Kita mahu hubungan ibu bapa Orang Asli dengan SK Tohoi terus terjalin erat dan melupakan insiden kehilangan tujuh murid sekolah ini pada Ogos lepas,” katanya selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Orang Asli anjuran Tesco Malaysia Berhad di Pos Tohoi, semalam.

Pada majlis itu, Pengarah Tesco, Datuk Azlam Shah Alias menyampaikan sumbangan kepada tujuh keluarga murid yang hilang dalam hutan di Pos Tohoi, warga pendidik dan murid-murid SK Tohoi serta anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Ab Aziz berkata, sejak kebelakangan ini, banyak NGO dan pihak korporat tampil bekerjasama untuk menyatupadukan penduduk Orang Asli dengan pengurusan sekolah ini.

“Kita mahu semua murid anak Orang Asli di kampung sekitar Pos Tohoi datang semula ke sekolah dan jangan ingat lagi insiden yang menimpa rakan-rakan mereka.

“Sebenarnya, mereka yang tidak hadir ke sekolah itu sebagai menghormati kejadian yang menimpa tujuh murid terbabit dan akan datang semula ke sekolah selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Azlam berkata, pihaknya bersimpati dengan insiden yang menimpa tujuh murid berkenaan.

Beliau berkata, sumbangan itu bertujuan memberi semangat kepada semua yang terlibat, termasuk pasukan SAR yang masih meneruskan usaha mencari seorang lagi murid yang masih hilang.

Pada 23 Ogos lepas, tujuh murid Orang Asli SK Tohoi dilapor melarikan diri dari asrama sekolah berkenaan, kerana takut dikenakan tindakan oleh guru, selepas dikesan mandi di sungai berdekatan tanpa kebenaran.

Mereka ialah Juvina David, 7; Linda Rosli, 8; Sasa Sobrie, 8; Ika Ayel, 9; Haikal Yaakob, 8; Norieen Yaakob, 10, dan Miksudiar Aluj, 11, yang berasal dari Kampung Gawin dan Penad.

Setelah hampir 50 hari hilang, Miksudiar dan Norieen ditemui selamat, manakala pihak berkuasa turut menemui dua mayat dan dua rangka kanak-kanak pada awal bulan ini.

Seorang lagi mangsa daripada kumpulan kanak-kanak itu masih hilang dan misi pencarian masih diteruskan.