KUALA LUMPUR, 16 Oktober:

Malaysia berpendapat, Perjanjian Perkongsian T‎rans-Pasifik (TPPA) tidak akan menyebabkan kenaikan kos perubatan dalam sektor farmaseutikal.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Malaysia akan mengekalkan dasar sedia ada berkaitan sektor itu.

“Saya ingin menjelaskan di sini, bahawa ia (farmaseutikal) membabitkan paten selama 20 tahun dan ia melindungi dasar sedia ada, manakala bagi ubat yang tidak berasaskan kimia, kita mempunyai perlindungan data eksklusif lima tahun,” katanya pada sesi #TanyaGomen, hari ini.

Pada masa depan, Mustapa berkata, ubat berasaskan biologi akan diletakkan di bawah ubat konvensional, agar tidak terjejas dengan pelaksanaan TPPA.

“Saya ingin menegaskan, TPPA tidak mengubah dasar Malaysia yang akan menyukarkan ubat generik, di mana ia boleh dikecualikan jika kecemasan. Dan kami berjaya merundingkan terma selaras dengan dasar kerajaan kepada perlindungan perubatan pada masa ini,” katanya.

Mengulas kesan TPP kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Mustapa berkata, TPP akan dikecualikan ke atas agensi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Permodalan Nasional Bhd dan Khazanah Nasional Bhd.

“Ia penting, kerana Malaysia memiliki satu model pembangunan sosio ekonomi, di mana kita perlu bantu Bumiputera untuk terus membangun,” katanya.

Mengenai Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS), Mustapa berkata, ia bukan satu perkara baru di dalam TPP dan Malaysia sudah mempunyai lapan perjanjian yang membabitkan ISDS dengan syarikat asing.

“Kita pernah disaman dua syarikat asing dan syarikat Malaysia juga pernah menyaman dua negara luar di bawah ISDS.

“Kita telah belajar daripada kes Philip Morris di Australia, di mana ISDS mengambil kira beberapa kelemahan, seperti mewajibkan rundingan terlebih dahulu, sebelum ke mahkamah dan ada proses tertentu, sebelum syarikat dapat menyaman kerajaan,” katanya.