PUTRAJAYA, 14 Oktober:

Usaha mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 masih dijalankan oleh Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT).

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata JIT terdiri penyiasat dari Malaysia, Belanda, Ukraine, Australia dan Belgium.

Justeru, beliau berkata sememangnya tiada pihak dituduh bertanggungjawab berhubung nahas pesawat MH17 dalam laporan akhir tragedi itu yang dikeluarkan Lembaga Keselamatan Belanda pada Selasa.

Azharuddin menjelaskan, ini kerana laporan akhir itu dibuat berdasarkan kepada Annex 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang hanya meliputi aspek teknikal termasuk mengenal pasti punca nahas.

“Annex 13 ini adalah untuk mencari apa sebenarnya yang berlaku dan buat cadangan supaya perkara sama tidak berlaku lagi pada masa akan datang.

“Ia tidak akan menuduh sesiapapun yang bertanggungjawab kerana itu bukan terma rujukan Annex 13,” katanya kepada Bernama di sini, malam ini.

Lembaga Keselamatan Belanda hari ini mengesahkan pesawat MH17 ditembak jatuh dengan peluru berpandu darat ke udara BUK di ruang udara timur Ukraine tahun
lepas.

Pesawat MH17 ditembak jatuh ketika terbang pada ketinggian 30,000 kaki dan terhempas di kawasan bergolak Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai
2014.

Kesemua 283 penumpang dan 15 anak kapal pesawat Boeing 777 itu, yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam, terkorban.

Dalam pada itu, Lembaga Keselamatan Belanda mendedahkan kesemua 298 penumpang dan anak kapal pesawat malang Malaysian Airlines MH17 langsung tidak menyedari situasi mereka apabila pesawat berkenaan ditembak dengan peluru berpandu di timur Ukraine tahun lalu.

Menurut lembaga itu, penumpang terdedah kepada faktor ekstrem yang berlaku hampir serta merta.

“Bergantung kepada pelbagai faktor seperti kedudukan penumpang di dalam kabin semasa detik impak, faktornya tidak sama bagi semua penumpang,” kata lembaga itu dalam ringkasan laporan akhirnya setebal 20 muka surat mengenai kejadian MH17 terhempas.

Laporan itu dimuat naik melalui laman webnya hari ini di http://cdn.onderzoeksraad.nl/documents/brochure-mh17-crash-en.pdf.

Lembaga tersebut melaporkan sejumlah penumpang dengan serta merta mengalami kecederaan parah yang menyebabkan kematian mereka.

“Bagi yang lain, mereka menjadi tidak sedarkan diri dalam sekelip mata. Tidak dapat dipastikan dengan tepat pada detik mana penumpang meninggal dunia, tetapi yang pasti impak di tanah menyebabkan tiada penumpang yang hidup,” kata lembaga berkenaan.

Laporan tersebut memfokus kepada empat aspek iaitu punca kematian, isu penerbangan di kawasan zon konflik, sebab saudara mara mangsa warga Belanda terpaksa menunggu antara dua hingga empat hari untuk mendapat pengesahan daripada pihak berkuasa Belanda sama ada orang kesayangan mereka berada di dalam pesawat dan akhirnya mengenai persoalan setakat mana penumpang berada dalam keadaan sedar semasa pesawat terhempas.

Laporan dikeluarkan selepas 15 bulan tragedi berlaku hasil siasatan bersama pihak Belanda, Ukraine, Malaysia, Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Rusia.