KUALA LUMPUR, 14 Oktober:

Malaysia perlu mengambil langkah bagi memastikan pihak yang menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 bertanggungjawab atas perbuatan kejam itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata selepas Lembaga Keselamatan Belanda mendedahkan pesawat itu ditembak dengan peluru berpandu BUK dari wilayah dikuasai pemberontak di timur Ukraine, siasatan jenayah yang masih dijalankan perlu memberi jawapan tepat dan membenarkan Malaysia mengambil tindakan tegas terhadap pihak bertanggungjawab itu.

“Siasatan jenayah yang masih dijalankan diketuai Belanda dengan sokongan kita perlu memberi jawapan pasti untuk kita meneruskan tindakan paling keras terhadap mereka yang bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan.

Najib berkata beliau menghubungi Perdana Menteri Belanda Mark Rutte, Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull dan Lembaga Keselamatan Belanda, sebelum laporan tragedi itu, diumumkan hari ini.

Beliau berkata tragedi itu sesuatu yang tidak boleh dibayangkan, dan daripada 160 penerbangan yang melalui laluan sama seperti MH17, tiada satupun dinasihatkan oleh pihak berkuasa mengenai sebarang ancaman.

“Lima belas bulan sudah berlalu, tetapi komitmen kita untuk membawa dalang itu ke muka pengadilan kekal kukuh seperti pada hari malang 17 Julai 2014, di mana ratusan orang tidak berdosa terkorban dalam konflik yang tiada kaitan dengan mereka,” katanya.

Sebanyak 298 mangsa terkorban dalam tragedi itu, termasuk 43 rakyat Malaysia.

Najib berkata banyak anggota keluarga mangsa turut berada di Belanda hari ini, untuk mendengar taklimat mengenai laporan itu.

“Ia menjadi satu perjalanan yang sukar dan akan kekal begitu terutama mereka yang kehilangan anggota keluarga tersayang, yang masih dalam ingatan dan doa saya,” katanya.

Tiong Lai
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai – Foto Bernama

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata bersandarkan laporan siasatan akhir yang dikeluarkan Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) hari ini, Malaysia bersama Pasukan Siasatan Bersama (JIT) berasa lebih cekal untuk mencari keadilan buat mangsa MH17 yang terkorban.

Beliau berkata Malaysia sebagai sebahagian daripada anggota JIT, kekal dengan satu matlamat untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

“Tribunal antarabangsa di bawah Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mungkin telah diveto tetapi perjuangan kami untuk keadilan masih belum selesai.

Malaysia bersama-sama rakan JIT – Belanda, Belgium, Ukraine dan Australia sedang berusaha untuk mengguna pakai satu perjanjian bagi menubuhkan satu mahkamah antarabangsa bebas dalam usaha mendapatkan mekanisme pendakwaan efektif terhadap mereka yang bertanggungjawab,” kata beliau dalam kenyataan.

Pada 14 Julai lalu, lima negara iaitu Malaysia, Australia, Belgium, Belanda dan Ukraine telah meminta Majlis Keselamatan PBB supaya menubuhkan sebuah tribunal jenayah antarabangsa bagi membicarakan mereka yang bertanggungjawab ke atas jenayah menembak jatuh MH17.

Bagaimanapun, Rusia menggunakan kuasa vetonya dalam Majlis Keselamatan PBB untuk menghalang cadangan itu pada 30 Julai lepas.

“Kita tidak boleh melengahkan lagi pelaksanaan perubahan di dalam cara penerbangan komersial global beroperasi.

“Perlu ada laporan tepat pada waktunya mengenai maklumat berkaitan risiko penerbangan kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) oleh negara anggota dan ICAO mesti menubuhkan protokol sejagat untuk menyebarkan maklumat ini kepada negara anggota dan syarikat penerbangan yang akan memberikan perbezaan antara hidup dan mati,” kata beliau.

Laporan 279 muka surat DSB hari ini mengesahkan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 ditembak jatuh menggunakan sebuah peluru berpandu darat ke udara BUK di timur Ukraine tahun lepas yang mengorbankan kesemua 283 penumpang dan anak kapal.