KUALA LUMPUR, 12 Oktober:

Penyelaras Center for Orang Asli Concerns (COAC), Dr Colin Nicholas berkata Kementerian Pendidikan wajar memastikan hanya guru yang berdedikasi dan berkelayakan sahaja dihantar untuk mengajar di sekolah Orang Asli.

Katanya, terdapat persepsi kuat mengatakan guru-guru yang dihantar bertugas di pedalaman di sekolah Orang Asli dilihat sebagai hukuman dan mereka mempunyai minat mahupun semangat yang sedikit untuk mengajar murid Orang Asli.

“Terdapat juga banyak aduan oleh ibu bapa Orang Asli bahawa guru-guru yang dihantar mengajar di sini tidak mengajar secara serius dan tidak mempunyai disiplin.

“Contohnya, penderaan murid Orang Asli yang pernah berlaku di SK Kuala Betis di Kampung Parik, Kelantan.

“Guru-guru tersebut berfikir mereka boleh melakukan apa sahaja yang mereka suka hanya kerana mereka ditugaskan di kawasan pedalaman,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Pada 15 Jun lalu, tiga orang guru telah memukul dan mengikat seorang murid darjah empat, Siti Azdilia Kasim sehingga lebam di muka, lengan dan paha kerana didakwa mencuri.

DR COLIN
Dr Colin Nicholas – Foto Facebook Center for Orang Asli Concerns (COAC)

Dr Colin mengulas laporan Kementerian Pendidikan akan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk meneliti pelbagai aspek yang melibatkan Kanak-kanak Orang Asli yang tinggal di asrama, berikutan tragedi yang menimpa tujuh pelajar Orang Asli di Gua Musang.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof berkata jawatankuasa tersebut akan melihat aspek pembangunan, keselamatan, kebajikan dan kesihatan di asrama.

Kementerian itu juga akan menganjurkan sesi latihan mengenai budaya dan cara hidup masyarakat Orang Asli secara berperingkat kepada guru-guru di sekolah Orang Asli.

Dr Colins berkata langkah itu, walaupun sudah terlambat, akan menjadi permulaan yang baik tetapi ia tidak perlu menjadi latihan perhubungan awam semata-mata.

Beliau berkata jawatankuasa itu juga perlu melihat ke dalam aspek lain seperti mempunyai terlalu ramai guru lelaki di sebuah sekolah Orang Asli di mana majoriti pelajar adalah wanita.

imageedit_7_3612602073
Hanya Norieen Yaakob, 10, dan Mirsudiar Aluj, 11, berjaya ditemui pasukan penyelamat. – Foto Ihsan Bomba

Tujuh murid Sekolah Kebangsaan Tohoi, Gua Musang itu dilapor melarikan diri dari asrama sekolah pada 23 Ogos lalu kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas didapati mandi di sungai berdekatan tanpa kebenaran.

Bagaimanapun, hanya Norieen Yaakob, 10, dan Mirsudiar Aluj, 11, berjaya ditemui pasukan penyelamat.

Namun, polis telah mengesahkan Sasa Sobrie, 8; dan Ika Ayel, 9, meninggal dunia manakala dua rangka kanak-kanak yang ditemui belum dikenal pasti melalui ujian DNA manakala satu lagi masih hilang.

Mereka yang terbabit ialah Juvina David, 7; Linda Rosli, 8, danĀ  Haikal Yaakob, 8.