KUALA LUMPUR, 10 Oktober:

Kira-kira 1,761 orang perwakilan MCA hari ini menerima tujuh resolusi yang dibahaskan oleh 17 orang perwakilan pada Perhimpunan Agung MCA kali ke-62 di Wisma MCA di sini.

Ketujuh-tujuh resolusi berkenaan adalah melibatkan hal ehwal parti; politik; ekonomi; pendidikan; kerajaan; agama dan juga alam sekitar.

Antara resolusi yang menjadi tumpuan para pembahas ialah melibatkan hal ehwal parti yang mana bilangan ahli yang layak mengundi dalam pemilihan parti bagi jawatan-jawatan pusat.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkenaan, penerimaan resolusi tersebut merupakan salah satu langkah transformasi yang dilakukan oleh parti berkenaan.

“Sebelum ini kita mengamalkan ‘Central Delegate System’ namun apabila resolusi ini diterima maka ia diperbesarkan kepada peringkat bahagian.

“Jadi selepas ini ahli di peringkat bahagian boleh memilih pucuk pimpinan parti yang akan bertanding pada pemilihan kelak,” katanya di sini hari ini.

Di samping itu, resolusi pendidikan turut hangat diperbahaskan yang mana perwakilan bersepakat menolak sekeras-kerasnya tuntutan untuk menghapuskan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Perwakilan juga menggesa MCA meneruskan memulihara hak pendidikan bahasa ibunda serta pendidikan pelbagai aliran dan tidak berganjak dari melindungi hal berkenaan.

Cadangan baharu Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan sukatan tunggal Bahasa Malaysia untuk semua aliran sekolah rendah sebaliknya perlu menyediakan buku teks Bahasa Malaysia bersesuaian untuk SJKC seperti diputuskan kabinet pada 2013.

Di samping itu, perwakilan turut menggesa kerajaan agar mewujudkan satu dasar dan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menstabilkan kejatuhan nilai Ringgit.

Perwakilan juga mendokong konsep kesederhanaan dan harmoni serta menggesa setiap organisasi NGO dan lain-lain menghentikan semua bentuk tindakan provokatif berbaur perkauman, agama, budaya dan sebagainya.

Tindakan konfrontasi dari mana-mana pihak yang terlibat atau kelakuan sedemikian rupa hendaklah dikenakan tindakan tegas undang-undang.

Malah, pengurusan media atas talian dan media sosial perlu diperkuatkan bagi menghalang tindakan-tindakan memudaratkan termasuk penyebaran khabar angin, provokasi kebencian dan hasutan bagi melindungi keharmonian dan kestabilan negara.

Perhimpunan Agung MCA juga sekali lagi bertegas menentang pelaksanaan enakmen hudud dan menyeru agar Perlembagaan Persekutuan negara yang sekular dan demokratik yang menjadi tunjang pembentukan negara dihormati dan dipertahankan.

Sebarang tindakan mana-mana pihak yang meletakkan pelaksanaan hudud sebagai agendanya juga dibantah sama sekali.