GEORGE TOWN, 9 Oktober:

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim menafikan penarikan bantuan yang diberikan kerajaan negeri kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) milik PAS.

Beliau yang menyifatkan dakwaan dua SAR menuduh kerajaan negeri menarik balik bantuan itu sebagai tidak berasas menegaskan, dua sekolah terbabit menerima sejumlah RM388,000 peruntukan daripada kerajaan negeri.

Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum (SRIBU) di Permatang Pauh dan Sekolah Rendah Islam Al-Ansor (SRIA) di Balik Pulau, mendakwa kerajaan negeri tidak pernah menyalurkan sebarang bantuan, disebabkan agenda politiknya.

Sebaliknya, Abdul Malik menegaskan, SRIBU telah menerima RM276,500 daripada kerajaan negeri, sejak 2010, sementara SRIA pula menerima bantuan berjumlah RM115,000 sejak 2013, selepas pendaftarannya diluluskan pada 1 Jun 2011.

Abdul Malik dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, dana itu meliputi kos pentadbiran, pengajaran, perpustakaan dan sumbangan kepada guru-guru.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan, dakwaan kerajaan negeri sengaja memotong bantuan untuk SAR milik PAS tidak berasas.

“Masih ada banyak sekolah lain di bawah pentadbiran pemimpin PAS yang terus menerima peruntukan daripada kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp) mendapati, enam sekolah pondok tidak menerima sebarang bantuan, sebelum memerlukan sebarang dana.

“Jadi, dana-dana untuk beberapa SAR, termasuk SRIA dan SRIBU telah diagihkan kepada sekolah pondok itu, kerana ia berada dalam keadaan amat teruk,” katanya.

Abdul Malik menjelaskan, peruntukan tahunan untuk sekolah agama Islam bukan bantuan tetap untuk sekolah-sekolah, tetapi ia diberikan berdasarkan keadaan dan keperluan sekolah terbabit yang telah memohon untuk mendapatkan bantuan.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang memulakan bantuan tahunan berjumlah RM1.5 juta kepada sekolah-sekolah agama Islam, khasnya SAR, pada 2008 dan peruntukan itu diperluaskan kepada Maahad Tahfiz dan Tadika Islam pada tahun berikutnya, dengan peruntukan sebanyak RM1.75 juta.

Abdul Malik berkata demikian sebagai mengulas dakwaan SRIA, SRIBU dan Dewan Ulamak PAS bahawa kerajaan negeri menarik balik bantuan kepada SAR, gara-gara campur tangan politik.

“Kerajaan negeri menyumbang sejumlah RM13.75 juta kepada sekolah-sekolah agama Islam di negeri ini, tidak termasuk bajet pembangunan, bonus Hari Raya dan bonus akhir tahun untuk guru-guru dan pentadbir institusi agama di negeri ini.

“Tahun ini, sejumlah RM1.75 juta diperuntukkan kepada 176 sekolah agama Islam yang terdiri daripada Sekolah Menengah Agama Rakyat (RM435,500), Sekolah Bantuan Kerajaan (RM249,500), Sekolah Rendah Agama Rakyat (RM381,100), Maahad Tahfiz (RM178,200), KAFA Integrasi (RM388,800), Tadika Islam (RM26,900) dan sekolah pondok (RM90,000),” katanya.