KUALA LUMPUR, 7 Oktober:

Ramai dalam kalangan masyarakat kita terkesan akibat keadaan jerebu yang pastinya cukup ‘melemaskan’ dan ‘merimaskan’.

Namun dalam rungutan yang sentiasa terluah dari mulut anggota masyarakat itu sendiri, tidak kurang juga yang meraih ‘durian runtuh’ daripada situasi ini.

Topeng muka pastinya menjadi tumpuan masyarakat untuk mengelakkan kesan daripada jerebu terhadap kesihatan terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

Malah terdapat ramai peniaga yang mengambil kesempatan untuk menjual topeng muka pakai buang dengan harga yang agak tinggi.

Namun, hasil rungutan inilah yang menjadi sumber pendapatan bagi segelintir masyarakat yang menggunakan kreativiti mereka untuk menghasilkan topeng muka daripada fabrik yang pastinya tahan lebih lama berbanding topeng pakai buang.

Salah seorang penjual topeng muka yang hanya mahu dikenali sebagai Bonikacak berkata, permintaan jualan topeng muka yang dijualnya secara dalam talian meningkat sejak jerebu melanda negara.

sweet n cozy 2

“Jerebu punya pasal, topeng muka laris dijual di setiap farmasi hingga ada setengah farmasi itu kehabisan stok dan ada juga yang menaikkan harga setiap kali jerebu melanda.

“Buat peniaga seperti kami, keadaan ini juga menjadi batu loncatan untuk menjual topeng muka guna semula kerana ia lebih tahan lama dan boleh dipadankan dengan pelbagai gaya dan fesyen,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Mengulas mengenai penutup muka dan hidung jenis respirator N95, Bonikacak berkata, topeng muka jenis itu merupakan yang paling sesuai untuk aktiviti luar namun ia kelihatan biasa dan hanya boleh digunakan dalam waktu yang singkat.

“Berbeza dengan topeng muka guna semula, ia diperbuat daripada kain kapas yang boleh digunakan berulang kali, lebih selesa dan mudah dipakai biarpun pada waktu ini, lambakan topeng muka pelbagai bentuk sudah lama terjual di pasaran.

“Pada mulanya saya hanya beli topeng tersebut untuk kegunaan keluarga sahaja namun setelah memakainya, ramai pula yang bertanya mengenai topeng tersebut, lantas mendapat permintaan daripada rakan-rakan,” katanya sambil menambah disebabkan permintaan yang tidak henti-henti itu juga, Bonikacak mengambil keputusan untuk menjual topeng muka guna semula bagi kegunaan orang ramai melalui laman web laman www.bonikacak.com.

Jelasnya, topeng yang dijualnya itu dibeli dari pembekal luar negara dan bukannya dihasilkan sendiri.

Bagaimanapun, sebelum membelinya dan menjual kepada orang ramai, dia akan memastikan ia diperbuat daripada fabrik berkualiti agar tahan lama dan beri keselesaan kepada si pemakai.

sweet n cozy 3

“Antara rekaan yang mendapat sambutan adalah yang bercorak celoreng kerana ia banyak dibeli remaja yang berumur dalam lingkungan 20 tahun ke atas dan yang mempunyai corak penuh warna-warni pula banyak dibeli oleh ibu-bapa untuk kegunaan anak-anak mereka,” katanya.

Berbeza dengan seorang lagi peniaga, Rahayu Mohd. Bohari, 37, yang menghasilkan sendiri topeng muka guna semula menggunakan kain kapas yang diimport khas dari Amerika Syarikat untuk dijual.

Menurut anak kelahiran Pontian, Johor itu, bahan asas fabrik kapas yang digunakan untuk menghasilkan topeng muka guna semula di bawah jenama, Sweet n Cozy itu berbeza dengan topeng muka biasa yang terdapat dalam pasaran di negara ini.

“Fabrik yang saya gunakan lebih tebal dan mempunyai variasi corak dan warna yang lebih menarik untuk digunakan oleh orang ramai sesuai dengan peringkat umur masing-masing.

“Biasanya topeng muka yang dijual dihasilkan menggunakan bahan berasaskan poliester namun produk saya hasilkan ini 100 peratus menggunakan kain kapas dan boleh dipakai berulang kali dengan hanya cucian ringan berbanding topeng muka pakai buang,” katanya.

Rahayu berkata, sebenarnya topeng ini boleh dihasilkan menggunakan apa-apa jenis fabrik sekalipun, namun untuk digunakan dalam tempoh waktu yang lama, kain kapas merupakan fabrik yang paling sesuai untuk digunakan kerana ia mempunyai ruang aliran udara yang lebih baik dan bersifat mesra pengguna.

“Topeng muka kain kapas membuatkan pengguna rasa lebih selesa terutama kepada penunggang dan pembonceng motosikal bagi mengelak dari terdedah dengan habuk dan udara kotor di jalan raya.

“Malah, topeng muka yang saya jual juga mendapat sambutan daripada individu yang mahu mengerjakan ibadah umrah atau haji serta pekerja di hospital,” katanya.

Tambahnya, sehingga kini dia telah menjual lebih 100 helai topeng guna semula yang dijual dengan kadar harga RM18 bagi orang dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak.

“Ramai kanak-kanak tidak mahu memakai topeng muka biasa kerana alasan mereka ia tidak selesa dan nampak kuno tetapi ada seorang ibu ini memuat naik gambar anak-anaknya memakai topeng yang saya hasilkan.

“Mengikut apa yang mereka katakan, anak-anaknya itu suka dengan jenis topeng cloth mask rocket. Jika sebelum ini, mereka tidak gemar memakai topeng jerebu tetapi selepas beralih kepada topeng kain kapas, setiap kali keluar rumah, anak-anaknya itu mesti memakai topeng tersebut,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penjual topeng muka guna semula, Sue Tan berkata, sejak Ogos lalu, dia banyak menerima permintaan daripada orang ramai terutamanya dari ibu bapa yang mempunyai anak kecil.

“Sejak Ogos hingga kini, topeng muka yang saya jual secara dalam talian laris kerana bacaan IPU yang tinggi boleh menjejaskan kesihatan orang ramai, khususnya bayi dan kanak-kanak yang mengidap penyakit kronik seperti asma.

“Selain kanak-kanak, warga emas juga mudah diserang penyakit berkaitan pernafasan akibat jerebu kerana sistem imunisasi mereka lemah. Kalau tak percaya, pergi ke mana-mana klinik dan hospital pastinya dipenuhi oleh warga emas dan kanak-kanak yang diserang batuk, selsema dan asma,” katanya.

Beliau berkata, selain digunakan untuk melindungi diri dari jerebu, topeng muka guna semula yang dijualnya itu dalam laman www.lelong.com.my juga mampu mencegah dari bakteria, kuman, debu, debunga, pepijat dan asap.

“Saya menjual pelbagai jenis topeng muka yang juga boleh digunakan untuk aktiviti seperti bersenam dan berbasikal kerana ia sangat selesa dipakai dalam suhu panas atau sejuk.

“Namun yang paling banyak saya jual adalah topeng muka untuk kegunaan kanak-kanak,” katanya ringkas.