KUALA LUMPUR, 7 Oktober:

Ibu kepada aktres terkenal, Ummi Nazeera mengaku tidak bersalah atas tuduhan memberi keterangan palsu di Mahkamah Sesyen Jalan Duta, di sini, dua tahun lalu.

Datuk Maziah Musa, yang juga seorang ahli perniagaan, dituduh memberi keterangan palsu semasa pemeriksaan balas di hadapan Hakim Norsharidah Awang dengan menyatakan bahawa dia tidak pernah berkahwin semula dengan bekas suaminya, Datuk Zainul Abidin Mat Akhir, 64, atau berkahwin lain dengan individu lain pada 25 September 2013 pada 11.43 pagi.

Maziah dituduh di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum sehingga tujuh tahun atau dikenakan denda sekiranya didapati bersalah.

Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abd Razak meminta jaminan sebanyak RM5,000.

Walau bagaimanapun, peguam bela, Hanif Abdul Rahman yang mewakili tertuduh merayu agar jumlah jaminan dikurangkan.

“Dengan mengambil kira status anak guam saya yang merupakan ahli perniagaan yang berjaya, dia akan hadir di mahkamah bagi prosiding seterusnya,” kata Hanif ketika berhujah.

Hanif kemudiannya meminta mahkamah untuk menetapkan tarikh sebutan semula dalam masa sebulan untuk mendapatkan dokumen bagi penyediaan surat representasi.

Majistret Saifulakmal Said menetapkan RM2,500 wang jaminan dengan seorang penjamin serta 12 November ini untuk sebutan semula kes.

Kelihatan seramai 20 ahli keluarga serta rakan Maziah, termasuk anaknya, Ummi turut hadir di mahkamah pagi tadi.