KUALA LUMPUR 3 Oktober:

Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah telah menghantar dua surat bagi menjawab surat tunjuk sebab yang dikemukakan Umno ekoran kehadirannya dalam rundingan meja bulat anjuran PKR pada 22 September lalu.

Memetik laporan The Star, surat pertama yang dihantar berkenaan adalah dari peguam Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) yang meminta penjelasan sama ada beliau hadir ke majlis berkenaan atas kapasiti sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yayasan berkenaan.

Sekiranya atas kapasiti sebagai CEO, GMMF mahu mahu memastikan sama ada yayasan berkenaan turut terbabit.

Manakala bagi surat kedua, ia adalah daripada pihaknya sendiri yang meminta penjelasan ke atas tiga perkara berbangkit.

Beliau turut ditanya sama ada surat tunjuk sebab itu diajukan kepadanya sebagai CEO GMMF atau sebagai ahli Umno dan beliau turut bertanya adakah kes berkenaan telah dirujuk kepada Lembaga Disiplin UMNO kerana surat tunjuk sebab terbabit datangnya dari ibu pejabat UMNO dan bukannya dari Lembaga Disiplin parti.

“Surat berkenaan tidak jelas kerana ia menyebut tindakan disiplin boleh diambil dan saya bertanya atas kesalahan apa dan di bawah seksyen berapa perlembagaan parti yang didakwa telah saya langgar,” katanya kepada akhbar berkenaan.

Kedua-dua surat itu telah dihantar pada petang semalam dan beliau menjelaskan terkejut apabila menerima surat berkenaan dan menolak khabar angin yang mengatakan beliau hadir sebagai pengintip.

“Saya hadir atas tujuan politik yang lebih besar kerana saya percaya kepada perbincangan dengan semua pihak,” ujarnya.

Tindakan Saifuddin menyertai perbincangan meja bulat pembangkang mendorong Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberikan surat tunjuk sebab pada 22 September lalu, menuntut penjalasan terhadap tindakannya dalam tempoh 14 hari.

Saifuddin sebelum ini mendakwa beliau hadir pada rundingan berkenaan sebagai wakil NGO Akademi Belia.