SHAH ALAM, 2 Oktober:

Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menyiasat pemilik akaun atas nama Rahim TambyChik yang mengeluarkan kenyataan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah murtad dan memeluk agama katolik.

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Abbas Azmi berkata siasatan di bawah akta tersebut perlu dilakukan memandangkan kenyataan tersebut dibuat secara terbuka.

Menurutnya, pemilik akaun media sosial itu juga gagal mengemukakan sebarang bukti kukuh mengenai dakwaannya yang melibatkan akidah Raja Muda Selangor.

“Pemilik akaun Facebook itu juga hanya memohon maaf namun tidak menarik balik kenyataan tersebut yang telah merosakkan nama baik Raja Muda Selangor.

“Adalah tidak wajar tuduhan berat seperti itu dilemparkan kerana Raja Muda Selangor adalah pewaris Kesultanan dan Sultan adalah Ketua Agama Islam bagi Selangor,” katanya pada sidang media di sini.

Terdahulu, beliau bersama-sama beberapa pimpinan Pemuda Amanah Selangor membuat laporan polis mengenai kenyataan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam hari ini.

Sebelum ini, pemilik akaun Facebook atas nama Rahim TambyChik menggemparkan negara apabila memuatnaik status mengenai pertukaran agama oleh Putera Sultan Selangor itu.

“Berita pertukaran agama oleh Putera Sultan Selangor, Tengku Amer Shah, ke Katholokisme amat menyedihkan umat Islam di seluruh negara dan dunia.

“Kesedihan ini ditambah dengan dua tragedi timpa umat Islam di Mekah dan Arafah. Moga hasrat Sultan Selangor bertemu Pope Vatican City akan berhasil,” menurut status di Facebook berkenaan.

Namun begitu, pemilik akaun berkenaan kemudiannya membuat permohonan maaf atas kesilapan fakta di dalam statusnya sebelum ini.