KOTA KINABALU, 2 Oktober:

Penganjuran Borneo Mud Challenge (BMC) yang menipu ramai peminat sukan ekstrem memberi kesan kepada penganjur sukan itu yang lain di Sabah.

Penganjur ‘Zombies Infested Run, Run For Your Life’, Lydia Nasrin dari Bazaaristas Kota Kinabalu berkata ia bagaimanapun menyebabkan ramai peminat sukan itu skeptikal terhadap penganjuran larian berskala besar dan mereka dihujani banyak pertanyaan sejak kejadian BMC.

“Pihak penganjur terpaksa memberi penjelasan dan jaminan bahawa larian yang dianjurkan memiliki permit daripada pihak polis. Kami bernasib baik kerana walaupun banyak pertanyaan diajukan, setakat ini masih belum ada yang membatalkan penyertaan,” katanya.

Berikutan penipuan yang berlaku, pihak pengajur terpaksa membuat pengumuman rasmi di Facebook dan menyatakan bahawa;

“Larian Zombie tiada sebarang sokongan, tajaan, atau kuasa oleh pihak penganjur BMC.”

“Kami berhak mengambil tindakan undang-undang kepada sesiapa sahaja yang mendakwa kami bekerjasama dengan Borneo Mud Challenge.”

Bagaimanapun Lydia berkata, pihaknya tidak menyalahkan orang ramai yang bimbang dengan penipuan acara larian 10 kilometer itu.

“Secara asasnya penganjuran ini hanya untuk hiburan di mana peserta boleh memilih untuk menyertainya sebagai zombie atau manusia di mana mereka akan diberikan tiga bendera ‘nyawa’ yang akan diikat pada lengan mereka. Zombie akan cuba merampas bendera ini di beberapa kawasan yang ditetapkan,” kata Lydia merujuk kepada acara larian 11 kilometer yang dijadualkan berlangsung pada 21 November depan bermula di Kompleks Sukan Likas hingga ke Menara Tun Mustapha.

Beliau percaya, kegagalan BMC telah mengecewakan peminat sukan ini, tetapi menurut Lydia, dia yakin peminat sukan ini tidak akan terkesan dengan satu penganjuran yang gagal, cuma katanya mereka akan lebih berhati-hati selepas ini.

Bagi pihak penganjur seperti dirinya, selepas apa yang berlaku mereka terpaksa bersedia untuk berdepan dengan pelbagai soalan daripada kebimbangan peserta.

“Akan timbul keraguan, jadi kami perlu memberi jaminan kepada mereka bahawa acara larian ini adalah sah dan bukan satu bentuk penipuan serta melengkapkan dengan dikumen dan bukti yang kukuh sebagai sokongan,” katanya.

Terdahulu, seorang warga tempatan yang dikenal pasti sebagai Jonathan John Jipil atau Papi Johntoy John, kini dalam buruan polis selepas terbabit dalam penipuan terhadap ratusan peminat sukan ekstrem termasuk dari luar negara.

Ketua Polis Kota Kinabalu, ACP M Chandra baru-baru ini menyebarkan fotofit suspek dan mendedahkan pihaknya sedang bekerjasama dengan agensi lain termasuk Jabatan Imigresen untuk mengesannya.

Polis turut memburu teman wanitanya, Ng Chee Hui, 22, yang sebelum ini pernah membuat laporan polis bagi menafikan penglibatannya dalam aktiviti penipuan, untuk menjadi saksi kes berkenaan. Akaun banknya didakwa digunakan untuk menerima bayaran daripada peserta acara itu.

Sekurang-kurangnya 29 laporan polis dibuat di beberapa daerah di negeri ini membabitkan 153 individu dan wang berjumlah RM20,267 sebagai yuran penyertaan.

Sesiapa yang mempunayi maklumat berhubung suspek boleh menghubungi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, ASP Ruzaidi Saad di talian 016-4787713 atau pengawai penyiasat, Inspektor Mohd Nasrul (010-5350846).