KUALA LUMPUR, 1 Oktober:

Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) dan Darul Ehsan Investment Group Berhad (DEIG) menghantar surat tuntutan kepada beberapa media arus perdana berhubung beberapa artikel yang didakwa ‘memfitnah’ disiarkan.

MBI turut meminta artikel berkenaan ditarik balik dan permohonan maaf secara terbuka dibuat terhadap dakwaan itu dalam masa tujuh hari selepas surat itu dihantar.

Sekiranya pihak berkenaan gagal berbuat demikian, tindakan undang-undang akan diambil tanpa sebarang notis.

Surat terbabit dihantar pada 25 September kepada Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3), Utusan Melayu (M) Berhad (Utusan) dan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP).

MBI dalam satu kenyataan hari ini berkata, artikel terbabit secara tersirat telah mendakwa DEIG akan atau telah menjalankan perniagaan secara tidak jujur dan berunsur rasuah, akan menyalahgunakan atau telah menyalahgunakan aset kerajaan negeri Selangor dan wang rakyat.

Artikel terbabit katanya turut secara tersirat menyatakan bahawa kedua-dua pihak terbabit dalam urus niaga yang merugikan kerajaan negeri dan rakyat.

MBI turut menegaskan bahawa artikel tersirat bahawa ia adalah bertanggungjawab, atau diluluskan, diarahkan, diperoleh, dikawal, dan terlibat dalam aktiviti-aktiviti membabitkan DEIG.

MBI merujuk kepada artikel yang disiarkan bertajuk “Why No State Officials in DEIG?” pada 21 Ogos dalam NST, “Aset RM30B Boleh Lebur Bila-bila Masa”, disiarkan pada 25 Ogos dalam Utusan, dan rancangan yang disiarkan di TV3 bertajuk “Soal Jawab: Skandal RM30 Billion DEIG” pada 2 September.

“Penerbitan ini telah mencemarkan reputasi selain memalukan DEIG dan MBI menyebabkan kebencian, penghinaan atau ejekan, salah sangka dan tidak berasas terhadap MBI dan DEIG.

“Dakwaan-dakwaan yang dibuat dalam penerbitan itu pada keseluruhannya tidak tepat, tidak berasas, berniat jahat dan palsu dan dibuat tanpa kawalan dan tidak mengamalkan amalan kewartawanan yang telus,” menurut kenyatan itu.