KUALA LUMPUR, 30 September:

Istana Selangor menggesa Tan Sri Rahim Thamby Chik agar menghentikan tindakan menyebar dakwaan palsu bahawa Raja Muda Selangor telah memeluk agama Kristian.

Dalam satu kenyataan hari ini, pihak Istana berkata terdapat niat yang tidak jujur di pihak bekas Ketua Menteri Melaka itu untuk menyebarkan khabar angin palsu yang mempersoalkan kepercayaan agama Raja Muda.

“Komennya menimbulkan pelbagai reaksi di mana masyarakat Islam telah meluahkan kemarahan dan kebencian mereka terhadap Raja Muda dan Sultan Selangor.

“Kenyataan yang dibuat oleh Rahim Thamby Chik adalah fitnah dan Istana Selangor kecewa kerana dia langsung tidak mengesahkan maklumat itu,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan terbabit turut mengesahkan bahawa Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin kini menjalani latihan di Akademi Ketenteraan Diraja Sandhurst, United Kingdom.

Sekembalinya ke tanah air, Raja Muda akan ditauliahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pada 25 September lalu, pengguna Facebook dengan nama Rahim TambyChik mendakwa Raja Muda Selangor telah menukar agama.

“Berita pertukaran agama oleh Putera Sultan Selangor, Tengku Amer Shah, ke Katholokisme amat menyedihkan umat Islam di seluruh negara dan dunia.

“Kesedihan ini ditambah dengan dua tragedi timpa umat Islam di Mekah dan Arafah. Moga hasrat Sultan Selangor bertemu Pope Vatican City akan berhasil,” memetik posting terbabit.