KUALA LUMPUR, 30 September:

Satu arahan palsu yang didakwa dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung penutupan sekolah akibat jerebu tersebar di media sosial hari ini.

Arahan berkenaan membabitkan penutupan sekolah di beberapa kawasan di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Sarawak bermula pada 1 Oktober 2015 akibat jerebu.

Ia bagaimanapun disahkan palsu oleh Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan menerusi laman twitter miliknya, hari ini.

“Sila ambil maklum kenyataan media ini adalag palsu,” katanya menerusi akaun twitter miliknya hari ini.

Sehubungan itu, Jabatan Pendidikan negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah bagi negeri-negeri dan Bahagian yang dinyatakan diharap tidak terpedaya dengan maklumat palsu yang tersebar di laman sosial.

Kelmarin, KPM mengeluarkan arahan penutupan sekolah di kawasan yang terjejas akibat jerebu berikutan bacaan IPU dicatatkan tidak sihat semalam.