KUALA LUMPUR, 29 September:

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengakui beliau membuat kesilapan sewaktu berurusan hal diplomatik di mana Duta China, Huang Huikang dipanggil berhubung kenyataan yang dibuatnya di Jalan Petaling, Jumaat lalu.

Malaysiakini melaporkan Nazri bertegas bahawa beliau tidak berniat untuk campur tangan dalam hal ehwal Kementerian Luar Negeri.

“Tidak ada niat untuk campur tangan,” katanya dalam satu kiriman SMS yang dilapor portal itu.

Nazri berkata demikian ketika diminta mengulas rakan sejawatnya Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang meluahkan rasa kecewa mengenai beberapa menteri yang mencampuri perkara tersebut tanpa merujuk kepadanya terlebih dahulu.

Huang telah dipanggil untuk bertemu dengan bekas timbalan Anifah, dan kini Pemangku Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin semalam.

Bagaimanapun terdapat banyak kekeliruan mengenai mesyuarat itu, kerana ia pada mulanya dilaporkan bahawa ia dibatalkan.

Nazri berkata pertemuan itu dibatalkan kerana Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merica melanggar protokol dengan memanggil Huang.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu menjelaskan hanya pemangku menteri luar yang boleh berbuat demikian sewaktu ketiadaan menteri luar.

Bagaimanapun Reezal menafikan dakwaan tersebit dan menyatakan tindakan memanggil Huang direstui Anifah.