KUALA LUMPUR, 28 September:

Duta China ke Malaysia, Dr Huang Huikang mengakui tidak tahu menahu bahawa dia dipanggil ke Wisma Putra berhubung kenyataan yang dibuatnya pada Jumaat lalu.

Apabila ditanya samada dia akan ke Wisma Putra, dia berkata: “Tidak, maaf. Saya hanya tahu mengenainya daripada akhbar.

“Jadual saya penuh,” katanya ketika ditemui pemberita di Forum The Maritime Silk Road China-Malaysia di Hotel Istana hari ini.

Ketika ditanya samada masalah itu sudah diselesaikan, dia membalas: “Sejak bila ia menjadi satu isu?”

Dia kemudian meluahkan harapan supaya lebih banyak pelancong China akan mempertimbangkan melawat Malaysia.

“Daripada tindakan, sudah terbukti bahawa Kuala Lumpur adalah bandar yang selamat. Saya berharap lebih banyak akan mempertimbangkan untuk datang ke Malaysia pada cuti panjang akan datang.

“Saya juga berharap niat baik saya tidak akan diputarbelitkan.”

Huang turut mengingatkan masyarakat Cina di Malaysia bahawa China masih tetap tanahair ibu bapa mereka.

Katanya, dia perlu menekankan perkara itu kepada semua Cina yang tinggal di luar negara.

“Tidak kira berapa generasi Cina anda di luar negara, China sentiasa menjadi tanahair ibu bapa kamu,” katanya ketika berucap.

Huang membuat kenyataan ketika melawat Jalan Petaling, pada Jumaat lalu, sehari sebelum perhimpunan baju merah, dengan memberi amarah kepada mereka yang menggunakan keganasan untuk mengganggu ketenteraman awam di negara ini.

Jalan Petaling adalah lokasi perhimpunan baju merah yang berlaku kekecohan pada 16 September lalu, apabila polis terpaksa menembak air untuk menyuraikan orang yang memaksa untuk memasuki kawasan itu.

Satu lagi perhimpunan sepatutnya diadakan pada Sabtu lalu di Jalan Petaling tetapi dibatalkan saat akhir.

Difahamkan, Dr Huang akan tetap dipanggil Wisma Putra mengenai kenyataan yang dibuat sekalipun ada laporan berita mengatakan ia sudah dibatalkan.