KUALA LUMPUR, 26 September:

Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu, Datuk Jamal Md Yunos menyalahkan pemimpin pembangkang sebagai punca semua permasalahan yang berlaku di dalam negara, ketika ini.

Jelasnya, berdasarkan maklumat yang diberikan rakan-rakannya, pemimpin pembangkang telah mengambil kesempatan untuk menjadi penyelamat keadaan, dengan mengadakan lawatan ke Petaling Street hari ini.

“Pemimpin pembangkang yang hadir ke Petaling Street berjumpa dengan peniaga-peniaga, seolah-olah mereka penyelamat kepada keadaan ini, tetapi sebenarnya merekalah punca segala-gala permasalahan yang berlaku hari ini,” katanya kepada wartawan di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, pada Sabtu.

Pagi tadi, beberapa pemimpin pembangkang, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Gerakan turun ke Petaling Street, sebagai tanda menyokong keharmonian berbilang kaum di Malaysia.

Antara yang hadir adalah Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datuk Dr Tan Kee Kwong.

Jamal yang juga Ketua Bahagian Umno Sungai Besar berkata, polis memberi layanan baik kepadanya, sepanjang penahanannya di IPD Dang Wangi, sejak semalam.

Namun, beliau dukacita dengan penahanannya itu yang disifatkan sebagai tidak wajar.

Ini kerana, dakwanya, penahanan itu dibuat polis berdasarkan laporan media kurang tepat yang dibuat pada 23 September lalu.

“Hanya sebahagian daripada kenyataan saya diambil dan dihebahkan yang menjadikan keadaan tidak selesa dan kelam kabut, bukan hanya kepada saya, malah pihak polis juga.

“Raya ketiga saya ditahan dan pegawai polis yang sepatutnya bercuti bersama keluarga, terpaksa dikerah untuk menjaga Petaling Street dan Bukit Bintang,” katanya sejurus dibebaskan malam tadi.

Menurutnya, sejak awal lagi, beliau menegaskan dirinya adalah orang yang membantu polis menyuraikan perhimpunan Kebangkitan Rakyat Bersatu dan kumpulan yang merusuh di Petaling Street, pada 16 September lalu.

Namun, disebabkan laporan yang dibuat media tempatan, beliau ditahan, ketika hadir ke IPD Ampang Jaya untuk memberi keterangan.

“Saya buat laporan di IPD Ampang berkenaan fitnah yang dilemparkan kepada saya di media sosial, tetapi laporan ini telah disensasikan media pro-pembangkang.

“Saya ingin beri amaran kepada media yang buat laporan kurang tepat, mereka akan berdepan tindakan undang-undang daripada saya dan peguam saya sedang meneliti kenyataan yang saya buat,” ujarnya.

Jamal berkata, dalam sehari dua lagi, beliau akan membuat laporan polis berhubung laporan media yang menyebabkan masyarakat beranggapan negatif terhadapnya, konon-kononnya beliau adalah penganjur himpunan baju merah di Petaling Street.

“Jadi, saya ingin membersihkan nama saya yang saya bukanlah penganjur kepada himpunan itu.

“Saya berharap di waktu akan datang, rakan-rakan media ini lebih bertanggungjawab dalam membuat laporan, bukannya mensensasikan sesuatu berita,” katanya.

Jamal yang ditahan sepasukan anggota dari IPD Dang Wangi, selepas beliau tiba di IPD Ampang Jaya untuk memberi keterangan, pada jam 8.50 malam Jumaat, telah dibebaskan pada jam 8.30 malam tadi.

Beliau ditahan di bawah Seksyen 105 Kanun Prosedur Jenayah, yang memberi kuasa kepada polis untuk menahan seseorang individu itu, supaya tidak menjejaskan ketenteraman awam.