KUALA LUMPUR, 26 September:

Pihak pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor menafikan dakwaan kononnya lapangan terbang itu ditutup pada Jumaat, sehingga menyebabkan semua penerbangan dibatalkan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, lapangan terbang itu tidak ditutup, sebaliknya ia beroperasi seperti biasa, cuma beberapa penerbangan dibatalkan disebabkan keadaan berjerebu.

“Pihak kami memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku, disebabkan perkara yang tidak dapat dielakkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Khabar angin mengenai penutupan lapangan terbang itu menjadi viral di laman media sosial, susulan perlawanan Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim II dan Kedah yang sepatutnya berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, pada Sabtu, ditunda akibat jerebu.

Keadaan berjerebu memaksa empat syarikat membatalkan 21 penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, pada awal pagi Jumaat.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar, pada jam 5 petang Jumaat, bacaan IPU di Pasir Gudang ialah 175, Larkin Lama (162) dan Kota Tinggi (121).

IPU antara 0 hingga 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).