KUALA LUMPUR, 26 September:

Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu, Datuk Jamal Md Yunos yang ditahan semalam, telah dibebaskan pada jam 8.30 malam ini.

Beliau bersama penyokongnya menadah tangan berdoa tanda kesyukuran, susulan pembebasannya itu.

Bercakap kepada wartawan di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Jamal sekali lagi menegaskan beliau bukanlah penganjur himpunan baju merah yang merusuh di Petaling Street, pada 16 September lalu.

Sebaliknya, beliau hanyalah orang tengah yang cuba membantu pihak polis.

Bagaimanapun, beliau mendakwa, masyarakat kini beranggapan negatif terhadapnya, disebabkan laporan media pro-pembangkang.

Jamal ditahan sepasukan anggota dari IPD Dang Wangi, selepas beliau tiba di IPD Ampang Jaya untuk memberi keterangan, pada jam 8.50 malam Jumaat.

Beliau ditahan di bawah Seksyen 105 Kanun Prosedur Jenayah, yang memberi kuasa kepada polis untuk menahan seseorang individu itu, supaya tidak menjejaskan ketenteraman awam.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, beliau tidak menolak kemungkinan akan berlaku rusuhan di Petaling Street, hari ini, ekoran rasa tidak puas hati kerana tiada sebarang tindakan diambil terhadap peniaga yang menjual barangan tiruan.

Semalam, Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu, Mohd Ali Baharom yang lebih dikenali sebagai Ali Tinju dilaporkan sebagai berkata, perhimpunan di Petaling Street yang sepatutnya diadakan hari ini telah dibatalkan, bertujuan memberi ruang kepada pihak berkuasa bertindak kepada tuntutan supaya peniaga Melayu dibenarkan berniaga di Petaling Street.